Bila menyebut tentang Nabi Muhammad kita selalu membayangkan satu sosok yang sempurna. Yang hebat-hebat dan ajaib semata. Sedangkan nabi juga manusia seperti kita. Bukan seperti superhero dalam filem yang kita tonton.
Akhirnya menyebabkan kita rasa terlalu jauh dalam mencontohi Baginda. Sedangkan Baginda Nabi Muhammad adalah contoh terbaik untuk kita contohi. Seperti firman Allah dalam Al-Quran,
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللّٰهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللّٰهَ وَالْيَوْمَ الْاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيْرًاۗ
“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah.” (Surah Al-Ahzab : Ayat 21)
Lalu nabi itu seharusnya dicontohi dalam situasi kehidupan apa pun. Mari bersama kita meneroka sisi yang hilang dalam meneladani sirah Nabi Muhammad SAW. Melihat sunnah-sunnah nabi ketika diuji, melakukan kesilapan dan pelbagai sisi manusiawi yang lain. Semoga dengan ini menjadikan kita lebih akrab dengan Baginda Nabi.
Table of Contents
Nabi juga diuji
Sa’d bin Abi al-Waqqas bertanya kepada Rasulullah SAW tentang manusia yang paling banyak menerima ujian dari Allah SWT, lalu Rasulullah menjawab:
“Para nabi, kemudian yang semisal dengannya, kemudian yang semisal dengannya; seseorang itu akan diuji berdasarkan tahap agamanya. “
(Riwayat at-Tirmizi)
Oleh sebab mereka akan menjadi rujukan atau standard kepada umat seluruhnya maka Allah SWT telah meletakkan mereka sebagai orang yang paling teruji kehidupannya. Layaklah mereka menjadi contoh teladan tertinggi, mengajarkan akhlak yang paling tinggi dan menyampaikan syariat yang paling mulia.
Ketika kita diuji, ketahuilah bahawa Nabi juga diuji, dan Baginda ialah orang yang paling banyak diuji dan Baginda ialah sebaik-baik manusia ketika menerima ujian.
Dalam kehidupan Baginda, makan minumnya tidak mewah malah sering menahan lapar. Tempat tinggal Baginda juga tidak seperti rumah kita hari ini, ia hanyalah sebuah bilik kecil. Nyawa Baginda juga terancam dan memiliki harta yang sangat sederhana. Hidup Baginda ketika di Makkah seolah dalam penjara, tidak bebas, sentiasa berada dalam kawalan Quraisy dan diburu ke sana sini. Tidak dibela dan dibuang keluarga.
Tidak cukup dengan itu, Nabi turut diuji dengan kehilangan orang tersayang. Lahir sebagai anak yatim dan kemudian ibu dan atuknya meninggal dunia. Isteri Baginda Khadijah juga meninggal, anak-anak Baginda juga meninggal semasa kecil kecuali Fatimah.
Ujian-ujian ini menyebabkan Baginda rasa lemah dan menyalahkan diri sendiri kerana tidak berjaya menjalankan tanggungjawab.

Nabi juga bersedih
Jikalau ada seorang sahaja manusia yang tidak menangis di atas muka bumi ini, pastinya orang itu ialah Nabi Muhammad. Baginda merupakan seorang utusan Tuhan dengan segala keistimewaan dan kelebihan aksesnya kepada wahyu dari langit. Baginda ketua negara dan pengasas kepada sebuah ketamadunan.
Baginda merupakan panglima perang yang sasa, yang melahirkan para pembuka Rom, Parsi dan seluruh dunia. Baginda ketua keluarga, suami kepada 12 orang isteri. Ini semua memberi gambaran kegagahan Nabi Muhammad. Namun, Baginda juga menangis.
Nabi Muhammad sangat mencintai anak-anak. Selalu kita membaca kisah layanan baik Baginda kepada kanak-kanak. Masyarakat Arab pula menganggap anak sebagai penerus legasi dan petanda hidup seorang itu bermakna. Tanpa anak, hidup seseorang itu berakhir dengan kematian dirinya kerana tiada waris. Bayangkan kesedihan hati Baginda mendepani pemergian seorang demi seorang anak Baginda.
Selain itu, nabi juga bersedih atas pemergian sahabat Baginda. Ibn Mas’ud menjadi saksi akan hibanya Rasulullah pada hari itu.
“Kami tidak pernah melihat dahsyatnya Rasulullah SAW menangis sepertimana dahsyatnya tangisan Baginda ke atas Hamzah bin Abdul Muttalib. Setelah meletakkan jasadnya pada arah kiblat, Baginda duduk dan menangis sehingga kedengaran kuat esakannya.”
Nabi juga tersilap
Ada beberapa peristiwa yang disebut dalam al-Quran sebagai teguran buat baginda Nabi Muhammad SAW. Allah menegur dan membetulkan Baginda setiap kali kesilapan itu terjadi. Hakikatnya, teguran-teguran Allah ini membuktikan bahawa kesemua ajaran Baginda datang daripada Allah dan bukan direka-reka oleh Baginda. Ini juga melambangkan kejujuran dan ketelusan Baginda dalam menyampaikan risalah.
Pertama, disebutkan dalam Surah ‘Abasa. Ketika Abdullah bin Ummi Maktum menghampiri Rasulullah meminta diajarkan sesuatu. Ketika itu Rasullah sedang berdakwah kepada barisan pemimpin Quraisy. Baginda berada dalam dilema ingin mengislamkan pemimpin Musyrikin atau mengajarkan Islam kepada seorang sahabat. Salam situasi ini, Nabi masih cuba meraikan kedua-dua pihak, tidak memarahi atau menghalau sesiapa. Rasa tidak selesa yang Nabi rasakan bukanlah suatu ekspresi fizikal sebaliknya hanyalah keadaan hati yang tidak diluahkan. Tetapi Allah tetap menegur Nabi kerana ingin menjadikan Nabi manusia yang terbaik.
عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ ١ أَن جَآءَهُ ٱلْأَعْمَىٰ ٢ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُۥ يَزَّكَّىٰٓ ٣
Maksudnya : Ia memasamkan muka dan berpaling,(1) Kerana ia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)!(3)
Kedua peristiwa Nabi tidak mengucapkan In sha Allah kepada Musyrikin Quraisy yang datang bertanyakan soalan dengan tujuan hendak mencari kekurangan dan menolak kenabian.
Baginda menjawab dengan yakin akan menjawab soalan mereka esok bukanlah kerana bangga, sombong atau bongkak tetapi kerana memaparkan keyakinan dan pembelaan Allah terhadapnya. Namun dua minggu wahyu sebagai jawapan kepada persoalan mereka tidak turun-turun. Gempitalah Makkah meraikan kemenangan kerana kononnya benarlah seperti kata Yahudi bahawa Muhammad bin Abdullah bukanlah nabi kerana tidak dapat menajwab persoalan mereka.
وَلا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فاعِلٌ ذلِكَ غَداً (23) إِلاَّ أَنْ يَشاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذا نَسِيتَ وَقُلْ عَسى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَداً
“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi (23) kecuali (dengan menyebut): “Insya Allah”. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada ini” (QS: Al-Kahfi Ayat 23-24)
Demikianlah tiga sisi manusiawi yang kita bincangkan dalam tulisan kali ini. Tidak hanya sedih, malahan emosi-emosi lain turut berada dalam radar kemanusiaan Nabi SAW. Baginda SAW juga bergurau senda kerana terhibur dengan keindahan dan keseronokan duniawi. Ada masanya, naik juga amarah Baginda SAW sehingga merah padam wajahnya. Baginda SAW juga ada masanya berasa malu dan serba salah atas perbuatan yang dilakukan. Semua emosi Baginda SAW bertepatan dengan fitrah kemanusiaannya yang sama sebagaimana manusia-manusia lain – sama sebagaimana kita. Yang perlu kita terus pelajari ialah cara menguruskan setiap emosi manusiawi ini supaya emosi-emosi ini seimbang; tidak menjangkaui “garis merah” syariat Allah SWT; tidak berlebih lebihan atau terlalu tegar pula.
Untuk perbincangan lebih mendalam, dapatkan buku ‘Nabi Juga Seorang Manusia’ tulisan Khubaib Akhi di sini > https://bit.ly/NJSMKhubaib