[Gambar] Sedekad Teme Abdullah di PBAKL 2026: Pelancaran Komik Pelukis Jalanan & Galeri Khas 10 Tahun Berkarya

Sempena meraikan Sedekad Teme Abdullah, IMAN telah menganjurkan acara khas Sehari Meraikan Sedekad Teme Abdullah pada 6 Jun 2026.

Acara ini berlangsung di Bilik Wilayah Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Daripada seorang anak muda yang berkongsi kisah hidupnya menerusi Pelukis Jalanan, Teme Abdullah kini telah menghasilkan 18 buah buku dan 4 buah T Planner. Sepanjang perjalanan tersebut, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah.

Bagi meraikan pencapaian itu, seramai 30 orang pembaca terpilih menghadiri sebuah acara eksklusif yang menghimpunkan kisah, memori dan perjalanan sedekad karya-karya Teme Abdullah.

Meraikan Pembaca yang Menemani Perjalanan Sedekad

Acara dimulakan dengan sesi meraikan para pembaca yang telah mengikuti perjalanan penulisan Teme Abdullah sejak karya-karya terawalnya diterbitkan.

Beberapa peserta berkongsi pengalaman mereka sebagai pembaca setia. Mereka turut menceritakan bagaimana karya-karya Teme Abdullah memberi inspirasi dalam kehidupan masing-masing.

Bagi sebahagian peserta, buku-buku tersebut membantu mereka melihat cabaran hidup daripada sudut pandang yang berbeza. Malah, ada yang menganggap karya-karya Teme Abdullah sebagai teman yang menemani mereka melalui fasa kehidupan yang sukar.

Perkongsian ini membuktikan bahawa sesebuah buku bukan sekadar bahan bacaan. Sebaliknya, ia mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembacanya.

Perkongsian bersama Ann Jaafar, tentang bagaimana Teme Abdullah pertama kali menghubungi beliau tentang lukisan.
Perkongsian daripada salah seorang peminat Teme dan bagaimana penulisan Teme mengingspirasikannya.

Bagaimana Teme Abdullah Bermula Bersama IMAN

Seterusnya, CEO IMAN, Fatin Syamimy berkongsi kisah bagaimana perjalanan Teme Abdullah bersama IMAN bermula.

Dalam sesi tersebut, para peserta dapat melihat timeline perjalanan karya-karya Teme Abdullah. Perjalanan itu bermula dengan Pelukis Jalanan sebelum berkembang kepada pelbagai karya lain yang dikenali ramai hari ini.

BACA JUGA  Jauhi 5 Sikap Ibu Bapa Toksik Ini!

Selain itu, peserta turut melihat perkembangan seorang penulis yang bermula dengan sebuah kisah kehidupan sebenar sehingga berjaya menghasilkan puluhan karya yang menyentuh hati pembaca.

Gambar-gambar perkongsian Teme yang berkomunikasi langsung bersama peminat menerusi sticky notes yang ditinggalkan dalam buku, dan buku yang ditinggal di stesen-stesen
Gambaran bagaimana Teme Abdullah mula mereka galaksi fiksyen beliau.

Di Sebalik Tabir Penghasilan Komik Pelukis Jalanan

Salah satu momen yang paling dinanti-nantikan ialah pelancaran rasmi Komik Pelukis Jalanan hasil kolaborasi antara IMAN dan Kadokawa Gempak Starz.

Dalam sesi khas tersebut, pihak Kadokawa Gempak Starz berkongsi bagaimana idea menghasilkan adaptasi komik daripada karya popular ini mula dicetuskan.

Menurut Dreamer, comic artist yang terlibat dalam projek tersebut, Komik Pelukis Jalanan merupakan antara projek yang paling pantas pernah dihasilkan.

Proses penghasilannya mengambil masa sekitar tiga bulan sahaja.

Walau bagaimanapun, projek ini bukanlah mudah untuk disiapkan.

Menurut beliau, banyak perbincangan dan semakan perlu dilakukan antara editor Kadokawa Gempak Starz dan editor IMAN. Semua pihak mahu memastikan semangat asal karya Teme Abdullah dapat diterjemahkan dengan baik ke dalam bentuk komik.

Selain itu, perbezaan zon waktu antara Teme Abdullah di London dan pasukan penerbitan di Malaysia turut menjadi cabaran. Keadaan ini menyebabkan proses maklum balas mengambil masa yang lebih panjang.

Timeline setiap novel Teme Abdullah, bermula dari Siri Kapal Terakhir Di Dunia, Selamat Tinggal Purnama dan Empayar

Cabaran Menghasilkan Watak Teme Abdullah

Dreamer turut berkongsi cabaran menghasilkan ilustrasi watak Teme Abdullah sendiri.

Menurut beliau, perkara yang paling sukar ialah mencari keseimbangan dalam menggambarkan karakter tersebut.

“Tak boleh terlalu kacak, dan tak boleh terlalu comot.”

Walaupun kedengaran ringkas, proses tersebut memerlukan banyak penelitian. Pasukan produksi mahu memastikan watak yang dihasilkan kekal dekat dengan imej yang dikenali oleh para pembaca.

Lebih menarik lagi, peserta berpeluang menyaksikan demonstrasi lukisan secara langsung. Sesi tersebut berlangsung serentak dengan sesi soal jawab bersama Dreamer.

BACA JUGA  Easy English Books for Malaysian Readers — 5 Novel IMAN Yang Anda Pasti Suka
Krew Gempak Starz bergambar bersama kek istimewa sempena pelancaran Komik Pelukis Jalanan

Menelusuri Galeri Khas Sedekad Teme Abdullah

Selepas sesi perkongsian tamat, peserta dibawa melawat Galeri Khas Sedekad Teme Abdullah.

Galeri tersebut memaparkan perjalanan karya Teme Abdullah sejak penerbitan Pelukis Jalanan. Selain itu, terdapat juga paparan berkaitan Arkitek Jalanan, sesi Meet & Greet bersama peminat serta pelbagai pencapaian yang pernah diraih sepanjang sedekad berkarya.

Turut dipamerkan ialah koleksi fan art, hadiah dan titipan daripada para pembaca.

Pameran tersebut memberikan gambaran yang lebih dekat tentang hubungan antara Teme Abdullah dan para pembacanya.

Malah, setiap karya yang dipamerkan turut membawa kisah dan kenangan tersendiri sepanjang perjalanan 10 tahun tersebut.

Sedekad Pertama yang Penuh Makna

Acara Sehari Meraikan Sedekad Teme Abdullah bukan sekadar sebuah majlis penghargaan.

Sebaliknya, acara ini menjadi ruang untuk mengimbau perjalanan yang telah dilalui bersama para pembaca sejak tahun 2016.

Daripada sebuah buku berjudul Pelukis Jalanan, perjalanan itu berkembang menjadi puluhan karya yang terus memberi inspirasi kepada ribuan pembaca.

Selepas 10 tahun, satu perkara masih kekal sama.

Karya-karya Teme Abdullah terus menemukan jalan ke hati mereka yang membacanya.

Semua peserta bergambar merakamkan kenangan meraikan Sedekad Teme Abdullah
Peserta mengambil peluang merakam gambar kenang-kenangan di Galeri Khas Teme
Sebuah diorama khas menunjukkan semua buku dan book badge Teme Abdullah yang disiapkan oleh salah seorang peminat Teme Abdullah, untuk dipaparkan di galeri khas.
Ruang khas untuk semua ‘fan art’ yang telah dikirimkan oleh peminat Teme Abdullah.
Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Penulis Tamu Nor Husna | Social media
Copywriter IMAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *