Seluruh umat Islam akan mula menjalankan ibadah puasa pada 12 Mac 2024 (Masihi), hari Selasa, bersamaan dengan 1 Ramadan 1445 (Hijrah). Bulan Ramadan yang dinanti ini penting bagi umat Islam, kerana inilah bulan di mana turunnya Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad SAW, sebagai panduan hidup kita. Bulan Ramadan ini juga merupakan bulan semua umat Islam menjalankan ibadah puasa
Ibadah Puasa adalah Rukun Islam yang kelima. Ketika berpuasa, umat Islam akan menahan lapar dan dahaga, serta menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.
Pengumuman tarikh bermulanya puasa bulan Ramadan 2024 bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia, nanti akan diumumkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan disiarkan secara langsung di televisyen dan radio. Pengumuman Ramadan ini boleh ditonton bersama keluarga di hadapan kaca televisyen, sekitar jam 8 malam, pada 29 Syaaban 1445 (Hijrah). Namun, tarikh sebenar permulaan adalah bergantung kepada pemerhatian bulan, geografi dan cuaca.

Table of Contents
Tarikh-tarikh penting dalam Islam (2024, Malaysia)
TARIKH HIJRI | TARIKH MILADI | HARI PERAYAAN / KEBESARAN ISLAM |
---|---|---|
27 Rejab 1445 | 8 Februari 2024 | Israk dan Mikraj |
* 1 Ramadan 1445 | 12 Mac 2024 | Awal Ramadan / Berpuasa |
17 Ramadan 1445 | 28 Mac 2024 | Nuzul al-Qur’an |
*1 Syawal 1445 | 10 April 2024 | Hari Raya Puasa / Aidilfitri |
1 Zulhijjah 1445 | 8 Jun 2024 | Awal Zulhijjah |
*10 Zulhijjah 1445 | 17 Jun 2024 | Hari Raya Korban / Aidiladha |
1 Muharram 1446 | 7 Julai 2024 | Awal Muharam / Maal Hijrah |
12 Rabiulawal 1446 | 16 September 2024 | Maulidur Rasul |
*Tarikh ini akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Malaysia
5 Buku Terbaik Untuk Persediaan Bulan Ramadan
Ramadan dah dekat? Amat penting untuk kita persiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan mental supaya kita dapat meraih keberkatan Ramadan. Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan (dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu neraka, dibelenggu Syaitan (supaya tidak mengganggu umat Muhammad s.a.w. dari melakukan pelbagai ibadat), di dalam ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya”
-Hadis Riwayat al- Nasai’e.
Duduk Sebentar by Fakhrul Islam

Selalu terganggu (distracted) dengan kesibukan dunia? Asyik jatuh dalam tabiat suka membandingkan diri dengan kehidupan orang lain di media sosial? Sering rasa tergesa-gesa dalam melaksanakan ibadah, tidak sempat menghayatinya?
Membaca buku ini sebelum Ramadan boleh membantu kita duduk sebentar, bertenang dahulu dan mula memproses semua perasaan kita – hal yang selama ini kita tak sempat buat kerana terlalu sibuk dalam kehidupan yang mencabar.
Adakah Ini Yang Terbaik? by Nashrin Nashir

Dalam hidup kita, kita tidak dapat lari daripada membuat keputusan. Daripada terbukanya mata, kita sudah berfikir samada mahu mengemas katil atau tidak, mahu pakai baju yang mana, mahu ambil jalan yang mana. Daripada sekecil-kecil bentuk, seperti, “Nak makan apa hari ni?”, kepada keputusan-keputusan besar dalam hidup, seperti pilihan kerjaya, pasangan hidup, tempat kerja dan tempat tinggal, manusia seperti apa kita mahu jadi, dan banyak lagi.
Kita tersangatlah memerlukan Tuhan dalam setiap detik nafas kita. Kerana Dia yang paling tahu. Sedangkan Rasulullah SAW juga sering merujuk Allah, apa lagi kita kan?
Mahu berlatih menyertakan Allah dalam setiap hela nafas dan keputusan hidup, pada Ramadan ini? Buku ini terbaik untuk anda.
Al Qur’an Untuk Kita by Muzuza

Mahu mendekatkan diri dengan Al-Qur’an sebelum Ramadan. Tidak mahu baca Al-Quran sekadar baca cepat-cepat untuk khatam Al-Qur’an di bulan Ramadan? Mahu menghayati pesanan-pesanan Allah dalam ayat Al-Quran, tapi tidak tahu bagaimana caranya?
Buku ini membantu kita kembali connect dengan Al-Qur’an dan diri kita sebelum Ramadan.
Dan Tuhan Akan Tetap Menjaga Kita by Fakhri Fadzli

Merupakan buku kedua tentang Al-Quran daripada penulis buku bestseller PBAKL 2022, Fainni Qarib: Sinopsis 30 Juzuk Al-Quran. Dalam buku beliau yang kedua ini, beliau mengulas tentang ayatul Kursi yang memujuk kita, dikala kita kesedihan.
Mencari buku healing, yang menyembuhkan hati daripada ayat Kursi? Mahu lebih menghayati bacaan ayat Kursi menuju Ramadan? Buku ini pilihan tepat untuk bacaan Ramadan anda.
Berdamai Dengan Ketidakpastian by Imran Zaki

Dalam kehidupan, kita tidak dapat lari daripada perasaan ragu dan takut. Lagi-lagi apabila berhadapan dengan hal di luar kawalan kita.
Menempuh tahun baru yang penuh dengan ketidakpastian, dan melangkah masuk ke dalam bulan Ramadan, buku ini dapat memberi ‘assurance’ kepada kita dan membuat kita yakin untuk menempuh Ramadan ini.
Penutup
Semoga kita dapat mempersiapkan fizikal, mental dan spiritual supaya kita dapat lebih bersedia dan meraih lebih banyak pahala di bulan Ramadan, bulan hadiah untuk semua umat Islam. Dan semoga kita keluar daripada madrasah Ramadan sebagai hamba yang lebih dekat kepada Penciptanya.