KLAB 2022 Mengubat Hati Peminat Buku

KUALA LUMPUR– Bulan Februari telah menutup tirainya dengan menyaksikan keterujaan peminat buku yang berkunjung ke Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2022 atau Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2022 (KLAB 2022).

Bertempat di Pasar Seni, Kuala Lumpur, bibliofil dari serata Malaysia telah berkunjung untuk menambah koleksi bacaan dan meraikan acara yang diadakan di sana. Berlangsung selama empat hari iaitu dari 24 Februari ke 27 Februari 2022, orang ramai berpeluang mencuci mata dan beramah mesra dengan penulis kegemaran mereka.

Sambutan di pesta buku tersebut amat menggalakkan dengan menyaksikan lebih 50 pempamer dari syarikat penerbitan arus perdana mahupun Indie. Antaranya ialah Jejak Tarbiah, IMAN Publication, PTS Publication, Buku Fixi, PTS dan banyak lagi.

Sekitar 24 ribu pengunjung dikalangan telah membanjiri Central Market Kuala Lumpur dikalangan golongan muda, menurut penganjur.

“Biar orang buat kita, kita buat pesta buku”

KLAB

Selain dari syarikat penerbitan, sambutan dari vendor luar juga amat menggalakkan termasuklah vendor makanan dan minuman seperti kopi. Memetik kata Amir Syafiq dalam temuramahnya bersama Jendela DBP Tunas Cipta, “Selain daripada buku, vendor jualan kopi juga turut serta. Hal ini kerana pembaca buku dan kopi tidak akan dapat dipisahkan.”

Ruang pameran telah dibuka setiap hari seawal jam 9 pagi hingga jam 8 malam. Selain mengunjungi reruai pameran buku, pengunjung juga disajikan dengan pelbagai acara yang telah disusun oleh penganjur. Orang ramai berpeluang mendengar bait-bait puisi yang dideklamasikan dalam sesi IMAN Buka Panggung yang berslogankan “Manusia Berani” dari IMAN Publication. Selain itu, sesi forum dan pelancaran buku dari beberapa syarikat penerbitan turut diadakan.

Disamping mencuci mata dengan lautan buku dan naskah bernilai, penganjur telah memastikan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan. Walaupun masih di fasa pandemik, minat serta kesungguhan para penggemar buku tidak pernah luntur dan ini terbukti apabila kunjungan dari orang ramai tidak putus-putus selama 4 hari pesta berlangsung.

BACA JUGA  Jauhi 5 Sikap Ibu Bapa Toksik Ini!

Acara KLAB 2022 ini merupakan inisiatif penganjur yang terdiri daripada Amir Muhammad daripada Buku Fixi, Aqram daripada The Patriots dan Hafizul Faiz daripada Jejak Tarbiah. Semestinya acara ini telah mengubat hati para peminat buku setelah dikecewakan dengan penangguhan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022. Acara tahunan tersebut terpaksa ditunda ke bulan Jun kerana lokasi Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, WTCKL telah dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin mega.

Saudara Hafizul Faiz juga melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua pengunjung, pempamer, pengedar yang bersama-sama menjayakan KLAB 2022 ini. Bersama kekuatan 22 orang ahli pasukan dari Jejak Tarbiah, mereka berjaya menganjurkan program kali ini dengan jayanya.

Pesta buku kali ini lain dengan ‘vibe’ yang meraikan pembaca dikalangan orang muda. Bukan sekadar jualan buku, acara kesenian seperti persembahan muzik, acara pentas yang kaya dengan perkongsian ilmu dan hiburan jiwa.

Ini merupakan acara KLAB yang kedua dan menyaksikan pengunjung yang berskala lebih besar. Acara KLAB 2021 yang terdahulu telah dilaksanakan di Sunway Putra Mall secara kecil-kecilan. Kata Amir Syafiq, salah seorang penganjur KLAB,  jika sambutan untuk pesta buku alternatif kali ini menggalakkan sudah pasti akan ada lagi acara seperti itu pada masa akan datang.

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Adlan Khalidi | Social media
Pengurus konten IMAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *