Di Sebalik Banjir di Selangor

Barangkali di sana ada jawabnya

Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan

Melihat tingkah kita

Yang selalu salah dan bangga

dengan dosa-dosa

Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita

(Berita Kepada Kawan, 1996 )

Ketika saya berhasrat untuk bercerita mengenai banjir, saya teringat akan sebuah lagu ini yang bertajuk ‘Berita kepada Kawan’ oleh Ebiet G. Ade. Lirik lagunya sangat dekat dengan apa yang berlaku sekarang kerana berkisarkan tentang bencana alam yang telah berlaku di merata-rata tempat, mengabarkan bahawa bumi sudah semakin tenat.

Pada bulan Disember 2021, rakyat Malaysia dikejutkan dengan peristiwa banjir kilat yang berlaku di kebanyakan daerah negeri Selangor terutamanya di daerah Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.

Hujan yang luar biasa dan kejadian air pasang dikenalpasti menjadi punca kepada bencana tersebut. Tambahan pula negeri Selangor sendiri tidak bersedia untuk menerima jumlah taburan hujan yang banyak memandangkan bencana banjir lebih sinonim kepada negeri-negeri di sebelah pantai timur seperti negeri Kelantan dan Terengganu.

Situasi

Hati ini menjadi gusar apabila mendapat tahu banyak rumah kenalan yang mula dinaiki air, tidak ketinggalan juga mereka yang terkandas di jalan raya akibat air yang melimpah ke tengah-tengah jalan, memaksa mereka untuk bermalam di dalam kereta sementara menanti bantuan sampai. Situasi itu mendorong ketidakselesaan buat mereka kerana sukar untuk mandi, solat serta mendapatkan makanan.

BACA JUGA  Penulisan yang Impaknya Lambat, Tapi Besar Makna kepada Masyarakat

Menjengah di ruangan media sosial, terpapar rumah-rumah yang tidak berwajah. Semuanya ditutupi oleh air yang menguasai kawasan. Ketinggian aras air boleh dibayangkan apabila kereta-kereta penduduk yang sebelumnya diparking teratur di bahu jalan, kini terapung berselerakan tanpa haluan.

Bahkan pasaraya-pasaraya besar seperti Mydin dan Giant pun tidak terkecuali menerima air bah sebagai pelanggan. Terdapat sebilangan pekerja yang masih bertugas ketika itu terperangkap di dalam pasaraya. Mujurlah pasaraya tersebut mempunyai tingkat-tingkat yang lebih tinggi sebagai tempat untuk menyelamatkan diri. Sungguh menggerunkan apabila membayangkan jikalau kita sendiri yang melalui situasi tersebut.   

Ibrah

Dalam situasi getir sebegini, terdapat kelompok yang mula menyalahkan di antara satu sama lain, padahal ia bukan dapat menyelesaikan masalah. Sepatutnya kita bersatu hati dalam mencari solusi. Malah, ia telahpun dibuktikan oleh jutaan rakyat Malaysia yang prihatin. Tidak kira kaum dan agama, mereka muncul bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas. 

Melalui bencana ini, barulah kita dapat mengenali masyarakat yang hebat, kebanyakannya terdiri daripada kalangan orang-orang yang biasa saja, namun jiwanya luar biasa. Pelbagai sumbangan yang diberikan mengikut cara dan kemampuan masing-masing. Termasuklah daripada segi kewangan, makanan, pakaian serta tenaga kerja untuk membersihkan kawasan yang terjejas. 

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu serta bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah Al Hujurat : 10)

Sikap mulia yang dipaparkan ini benar-benar mengajarkan kita tentang erti persaudaraan dan kemanusiaan yang menuntut kita untuk berkorban di antara satu sama lain. Jelasnya, mereka inilah hero-hero sebenar yang perlu didendang.

Tidak mengabaikan saja lolongan mereka, kami Tim IMAN pun turut turun ke halaman-halaman yang musnah, melihat dengan sendiri bagaimana takungan air yang luar biasa itu menukar rutin harian penduduk. Sesungguhnya musibah ini cukup berat untuk ditanggung khususnya buat keluarga yang kehilangan ahli keluarga tersayang.

BACA JUGA  Tips Menulis Novel: Kenapa Nak Jadi Penulis?

Ketika saya bertanyakan kepada salah seorang daripada sukarelawan IMAN tentang apa yang dipelajari daripada misi bantuan banjir, Beliau menyatakan bahawa kita perlu belajar untuk hidup secara bersederhana.

“Kurangkan menyimpan barang-barang yang dah lama dan tak guna. Tabiat sayang untuk buang barang walaupun sudah tidak perlu akan menyempitkan ruang di rumah serta menyukarkan kehidupan seharian lebih-lebih lagi apabila berlaku bencana sebegini”

Pesanan ini disampaikan apabila melihatkan longgokan barang bersalut lumpur tersadai di halaman sekaligus menyulitkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Antara yang menjadi mangsa termasuklah pelawak terkenal tanah air, Ebby Yus yang berkongsi kepiluannya di sebuah rancangan televisyen mengenangkan rumahnya yang baru siap dibina, hanyut dalam sekelip mata.

Saya yang mendengar ceritanya pun merasakan keperitan yang dialami. Apatah lagi beliau. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Namun begitu, Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid dilihat tenang dan redha dengan ketentuan tersebut dengan menyatakan bahawa semua yang kita ada sekarang adalah milik Allah SWT.

Masyaallah, benarlah bahawa iman itulah yang menjadi penenang, memenangkan kita di dunia serta akhirat. Hakikatnya, musibah seperti bencana banjir ini bukanlah merupakan ujian kepada mangsa banjir sahaja, bahkan juga sebagai ujian kepada masyarakat sekeliling tentang bagaimana reaksi mereka terhadap peristiwa tersebut.

Adakah mereka peduli seraya menghulurkan bakti ataupun hanya memerhati tanpa empati?

Telah zahirlah bahawa kekuasaan Allah SWT melangkaui perancangan kita. Inilah ujian daripada-Nya, siapa yang percaya dengan qada’ dan qadar, dia akan menang. Sambil tidak menafikan bahawa ujian kali ini sangat hebat dan berat untuk diterima. Menilai tahap keimanan di kalangan mereka dan kita bahawa apa yang terjadi seakan-akan suatu bilasan untuk kita kembali bangun dalam keadaan yang lebih segar dan berhati-hati. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah ar-Rum, ayat 41)

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Penulis Tamu Amirul Amin Fauzi | Social media
Pelajar Latihan Industri IMAN

1 thought on “Di Sebalik Banjir di Selangor”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *