Assalamua’laikum Palestin; Mengapa Kita Perlu Ambil Tahu?

Seringkali kita mendengar perkhabaran duka daripada umat Islam yang berada di Palestin. Sebagaimana yang kita tahu, mereka mengalami penderitaan yang berpanjangan akibat daripada kekejaman Zionis Yahudi yang tidak berperikemanusiaan. Pendatang Yahudi dari negara Israel ini bertindak ganas dengan menceroboh dan merampas rumah kediaman rakyat Palestin, termasuklah merosakkan kedai-kedai dan kebun-kebun milik penduduk.

Sehubungan dengan itu, mereka memerlukan bantuan daripada luar. Bukan saja daripada negara Arab yang berdekatan, malah daripada seluruh umat Islam dari setiap pelusuk dunia termasuklah Malaysia.

Mengapa kita perlu ambil tahu?

Misi bantuan dapat disemarakkan apabila kita mula mengenali rakyat Palestin sebagai saudara kita sendiri. Sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah SAW bahawa hubungan sesama umat Islam itu bagaikan satu jasad, jikalau sebahagian daripada anggota tubuh badan sakit. Maka seluruh badan akan turut sama merasainya.

Tambahan pula, Baitul Maqdis di Palestin adalah merupakan tanah suci bagi umat Islam, Allah SWT telah menyatakan bahawa ia adalah tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi‘raj. Firman-Nya:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Isra’: 1)

Maka dengan sebab itu, suatu kewajipan buat kita untuk terus membantu dan mengambil tahu tentang kesakitan rakyat Palestin. Sebagai rakyat Malaysia yang berjauhan, kita mungkin tidak berdaya menolong daripada aspek fizikal kerana tiada pengalaman dalam menghadapi situasi perang sedemikian. Namun begitu, sentiasa ada alternatif lain yang boleh difikirkan dan digerakkan secara bersama. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kalian Aku tunjukkan kepada kalian sesuatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kalian daripada azab yang pedih? (10); (Iaitu) kalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kalian. Itulah yang lebih baik bagi kalian, jika kalian mengetahui. (11); Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kalian) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. (12).

(Surah al-Saff: 10-12)

Ayat di atas merupakan tawaran daripada Allah SWT kepada orang-orang yang Islam. Yang mana jikalau mereka berjihad pada jalan Allah dengan harta dan sepenuh jiwa, mereka akan diampunkan dosa oleh Allah SWT dan dimasukkan ke dalam Syurga yang bernama ‘Adn.  

BACA JUGA  Gaza: Mengapa Israel Merebut Palestin

Apakah peranan kita?

Lantaran itu, marilah kita menyahut tawaran itu dengan bersatu hati menghulurkan bakti. Bantulah mengikut kemampuan. Misalnya, siapa yang mampu daripada segi kewangan, bolehlah salurkan wang anda kepada persatuan-persatuan yang dipercayai seperti Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang diketuai oleh saudara Nadir Al-Nuri. Malah para pelayar internet juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran khususnya menerusi penulisan serta maklumat-maklumat yang benar. Di samping jangan sesekali lupa akan rutin kita untuk mendoakan akan kesejahteraan mereka. Hakikatnya, itulah senjata paling kukuh dan ampuh bagi orang-orang mukmin.

Bantuan serta sokongan ini mestilah sentiasa disemarakkan sepanjang masa bukan saja dalam kalangan orang dewasa, malah harus bermula seawal usia kanak-kanak. Ya, Kanak-kanak juga perlu terdedah dengan isu yang masih tidak bernoktah ini. Bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini kerana, memahamkan anak-anak sejak kecik mengenai isu Palestin dapat melahirkan generasi baru umat Islam yang lebih bersatu sebagai syarat untuk beroleh kemenangan. 

Oleh itu, Ibu bapa berperanan dalam memperkenalkan anak-anak kepada kisah-kisah perjuangan dalam Islam. Contohnya, ibu bapa boleh belikan mereka buku-buku tarbiyah (pendidikan) yang bersesuaian dan tetapkan masa tertentu dalam satu hari untuk ceritakan kepada mereka. Lebih lebih lagi sekarang kita sudah ada buku sejarah Palestin yang dihasilkan dalam bentuk komik. Penerbitan buku sebegini membuatkan perjalanan dalam menelusuri sejarah perjuangan Islam itu lebih menyeronokkan. Apa tidaknya, visual dan infografik yang dipaparkan sememangnya cantik. Sekaligus menarik perhatian kanak-kanak untuk memahami konflik antara Arab dan Israel dengan lebih mudah.

Teruskanlah beriman 

Meskipun sudah sekian lama Palestin dijajah dan dikurung di negara sendiri, kita hendaklah yakin terhadap janji Allah SWT bahawa cahaya Islam itu tidak akan pernah padam. Tinggal sahaja Allah SWT mahu melihat siapa yang benar-benar ikhlas berusaha memperjuangkannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Menilai setiap perbuatan hamba-hambanya sama ada yang zahir mahupun yang cuba disembunyikan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka (orang kafir) ingin memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut (perancangan dan tipu daya) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya. (Surah As-Saf: 8)

Miliki Komik Gaza Mini Palestin sekarang di www.imanshoppe.com sebagai salah satu pendedahan awal kepada semua mengenai konflik sebenar yang berlaku di Palestin. Teruskan mengambil tahu cerita-cerita saudara kita di sana!

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Penulis Tamu Amirul Amin bin Fauzi | Social media
Pelatih Industri IMAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *