Perbualan ibu bapa dengan anak-anak sangat penting bagi mengukuhkan perhubungan serta memberikan perkembangan positif untuk minda anak-anak.
Walaubagaimanapun, cara didikan kebanyakkan ibu bapa di Malaysia lebih sinonim dengan frasa “Asian parents” yang sering mewujudkan jurang antara anak-anak dengan ibu bapa sehinggakan anak-anak berasa takut untuk berkongsi masalah mahupun bertanya kepada ibu bapa mereka sendiri.
Oleh itu, mari kita lihat 3 cara berkesan yang boleh digunakan para ibu bapa untuk menjawab persoalan anak-anak dengan efektif.
NOTA: Anda boleh tonton video perkongsian mengenai The Art of Talking to Children menerusi Instagram Video littleiman.official
Table of Contents
Keadaan yang kondusif
Perkara pertama yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa sebelum menjawab persoalan anak-anak ialah memastikan keadaan dan masa untuk berbual itu kondusif dengan soalan yang diajukan oleh si kecil.
Contohnya, sekiranya jawapan bagi soalan yang diajukannya memerlukan penjelasan panjang dan terperinci, pertama sekali ibu bapa perlu memastikan masa dan keadaan untuk berbual itu tidaklah ketika waktu yang sibuk kerana ia akan menyebabkan ibu bapa yang perlu menjawab itu berada dalam keadaan tergopoh-gapah ataupun “triggered” yang tidak akan memberi impak positif bagi ibu bapa dan juga anak-anak itu nanti.
Tipsnya ialah, sekiranya anak-anak mengajukan soalan pada waktu yang tidak kondusif, maklumkan kepada mereka terlebih dahulu yang anda akan menjawab persoalan mereka pada waktu yang dikhaskan atau pada waktu lapang.
Seterusnya, sekiranya anak-anak anda dalam lingkungan umur yang berbeza, asingkan masa berbual bagi mereka mengikut peringkat umur yang bersesuaian dengan taraf kognitif mereka.
Be honest!
Cara kedua yang patut diterapkan oleh ibu bapa di luar sana ketika menjawab soalan anak-anak dalam perbualan adalah dengan menjadi jujur. Kanak-kanak sememangnya bersifat “inquisitive” dan akan bertanya bermacam-macam jenis soalan.
Walaubagaimanapun, ibu bapa tidak perlu gusar. Ibu bapa hanya perlu bersikap jujur dan memberitahu anak anda sekiranya anda tidak tahu jawapan untuk persoalan mereka.
Seterusnya, sekiranya anda mempunyai masa terluang ketika itu, ajak anak-anak untuk mencari jawapan persoalan mereka daripada mana-mana buku ataupun “Google” bersama-sama. Kejujuran ibu bapa sangat dihargai oleh anak-anak kerana bukan sahaja ianya mendedahkan konsep “nobody’s perfect” kepada anak-anak.
Malah, ibu bapa yang jujur dan berusaha mencari jawapan untuk anak-anak ketika anak masih kecil akan membentuk anak-anak yang membesar mempercayai bahawa ibu bapanya tidak akan pernah meremehkan soalan yang diajukan walaupun ketika mereka sudah melonjak usia nanti.
Story Time!

Penceritaan menggunakan fiksyen mahupun kisah benar daripada Qur’an dan hadith juga adalah salah satu cara yang boleh digunakan oleh para ibu bapa untuk menjawab persoalan anak-anak.
Kaedah “storytelling” ini adalah cara yang menarik kerana ia bukan sahaja boleh mengeratkan silaturahim malah ia mampu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai konsep dan nilai menggunakan pendekatan yang tidak langsung atau, “indirect”.
Pendekatan secara tidak langsung kepada anak-anak adalah cara mendidik yang berkesan kerana mereka tidaklah terasa diancam oleh ibu bapanya dalam perbualan tetapi, mereka dapat mempelajari tentang sikap-sikap negatif yang mereka boleh lihat melalui sudut pandangan orang ketiga daripada watak-watak dalam cerita yang dikongsi ibu bapa mereka supaya mereka belajar dari cerita tersebut.
Penutup
Hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak sangat penting dan tidak semestinya ibu bapa perlu menyediakan jawapan dengan pantas kepada anak-anak sepanjang masa. Tetapi, apa yang utama adalah “engagement” antara ibu bapa dan anak-anak itu ketika mencari jawapan untuk persoalan secara bekerjasama dan secara tidak langsung boleh mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Kami berharap semoga cara-cara yang kami kemukakan untuk tulisan kali ini dapat memudahkan para ibu bapa untuk menjawab persoalan anak-anak anda dan semoga usaha berterusan dapat dilaksanakan oleh para ibu bapa diluar sana.
Jika anda berminat untuk mempelajari lebih lanjut tentang cara menarik untuk menjawab persoalan anak-anak anda dengan efektif, dapatkan buku bertajuk Iman’s Mealtime Adventure.