Kepimpinan Melalui Teladan Nabi Muhammad SAW

Kepimpinan ialah kewujudan pemimpin yang berada dalam organisasi dengan mewujudkan hubungannya dengan pengikutnya bagi mencapai kecemerlangan. Manakala kepimpinan dalam Islam dijelaskan secara luas dan mendalam. Kepimpinan dalam Islam bukan sahaja merujuk kepada politik, malah meliputi moral, tingkah laku dan kerohanian.

Pemimpin dari sudut pandangan Islam ialah menjadi contoh teladan serta simbol kepada orang lain melalui perbuatan, percakapan dan tingkah laku. Seorang pemimpin yang hebat sentiasa menjalankan tanggungjawabnya dan melindungi dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar R.A berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas kepimpinannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW ialah seorang nabi dan rasul yang diutuskan bukan sahaja kepada bangsa arab, malah kepada seluruh umat manusia. Baginda juga diutuskan untuk menyampaikan kebenaran, keadilan dan juga kebahagiaan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiyaa’:107)

Rasulullah SAW merupakan ikon yang terbaik untuk dicontohi oleh umat manusia dari segi kelakuan, percakapan dan sebagainya. Hal ini telah dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzab:21)

AKHLAK RASULULLAH DALAM MEMIMPIN UMATNYA

Rasulullah SAW memiliki akhlak yang luar biasa dalam memimpin umatnya. Terdapat beberapa akhlak yang boleh kita contohi daripada baginda, iaitu:

1. KEADILAN

Rasulullah SAW ialah seorang pemimpin yang adil dalam mentadbir sesebuah negara. Baginda adil dalam memutuskan sesuatu perkara. Baginda tidak bersikap pilih kasih terhadap sesiapa pun, sama ada insan tersebut orang yang kaya mahupun miskin, dan juga bangsawan mahupun rakyat biasa. Rasulullah SAW sentiasa memastikan setiap individu mendapat layanan yang adil dan saksama. Rasulullah SAW juga memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan tanpa memandang latar belakang seseorang.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Berlaku adillah, kerana (adil) itu lebih dekat kepada takwa.” 

(Surah Al-Maidah:8)

Firman Allah SWT yang lain yang bermakusd:

“Maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil.”

(Surah Al-Hujurat:9) 

Contoh peristiwa yang dapat menggambarkan keadilan Rasulullah SAW dalam kepimpinannya ialah peristiwa pembentukan kota Madinah Al-Munawwarah. Pembentukan kota tersebut dapat dilaksanakan melalui penyatuan rakyat dari pelbagai agama, kaum dan juga warna kulit. 

BACA JUGA  Idea Dan Kreativiti Tidak Datang Bergolek

Keadilan yang ditunjukkan oleh baginda SAW membuka hati orang ramai untuk memeluk agama Islam yang mulia ini. Kepimpinan baginda yang adil juga telah menjadi inspirasi kepada orang ramai. Baginda telah menunjukkan bahawa seorang pemimpin yang hebat hendaklah sentiasa adil terhadap kepentingan umatnya. 

2. KESABARAN

Salah satu sifat baginda yang boleh kita contohi dalam kepimpinan ialah baginda seorang yang penyabar. Rasulullah SAW telah menunjukkan sifat sabarnya dalam menghadapi tentangan musuh Islam dan kesulitan dalam memimpin umatnya. Antara contoh peristiwa yang menunjukkan kesabaran Rasulullah SAW yang luar biasa adalah:.

  1. Peristiwa di Mekah

Rasulullah SAW diutuskan untuk menyebarkan syariah agama Islam kepada sekalian umat. Sebahagian manusia mula mengikuti ajaran Rasulullah dan sebahagian daripada mereka juga menentang ajaran tersebut. Mereka yang menentang mula melakukan penindasan dan penganiayaan terhadap Rasulullah dan para pengikutnya. Bahkan mereka menyiksa pengikut Rasulullah agar kembali kepada ajaran nenek moyang mereka dan Rasulullah juga diancam bunuh sekiranya baginda tidak menghentikan penyebaran ajaran Islam. Namun Rasulullah tetap bersabar dan tidak berputus asa. Baginda terus memimpin umatnya dengan penuh kesabaran dan baginda tidak akan berhenti mengajak manusia kembali ke jalan yang benar walaupun baginda ditindas dan diancam bunuh oleh kaum musyrikin Quraisy.

  1. Peristiwa di Taif

Rasulullah SAW telah menuju ke Taif ditemani sahabatnya, Zaid bin Harithah  bagi tujuan menyebarkan dakwah kepada penduduk di sana. Setibanya mereka di sana, Rasulullah SAW segera bertemu dengan pemimpin Taif dan penduduknya untuk menyebarkan risalah agama Islam. Namun dakwahnya ditolak mentah-mentah oleh penduduk Taif. Mereka bahkan mengusir Rasulullah dan sahabatnya keluar daripada Taif. Walaupun baginda mendapat layanan yang buruk dan menghadapi kegagalan, baginda tetap bersabar dan hadapi dugaan tersebut dengan penuh keterbukaan.

Sifat sabar Rasulullah dalam memimpin umatnya telah menjadi kunci kejayaan baginda dalam menyampaikan dakwah Islamiah kepada seluruh umat manusia. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. ” 

(Surah Al-Baqarah:155)

 3.   TAWADUK

 Rasulullah SAW juga seorang pemimpin yang tawaduk dalam tanggungjawabnya. Tawaduk bermaksud sikap merendah diri dan tidak bersikap sombong terhadap Allah SWT dan sesama manusia. Antara contoh Rasulullah SAW mengamalkan sikap tawaduk dalam kepimpinannya ialah:

  1. Rasulullah SAW sentiasa bersikap merendah diri dan baginda tidak pernah merasa lebih baik daripada orang lain. Baginda tidak memandang rendah atau merasa sombong dengan kedudukannya terhadap sesiapa pun termasuklah para sahabat. Baginda juga melayani mereka secara adil tanpa memandang pangkat dan kedudukan mereka.
BACA JUGA  Kesunyian itu satu proses dalam kehidupan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang beriman yang mengikutimu.”

(Surah As-Syu’ara:215)

 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT telah mewahyukan kepadaku agar kamu bertawaduk, sehingga seseorang tidak merasa bangga lagi sombong terhadap orang lain dan tidak pula berlaku aniaya kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim 2198)

  1. Walaupun Rasulullah SAW memiliki kedudukan sebagai seorang pemimpin, baginda tidak akan membuat keputusan secara menyendiri. Baginda sentiasa akan mengadakan musyawarah bersama para sahabatnya dan mencari kata sepakat dalam membuat keputusan. Baginda menghormati pendapat mereka dan baginda akan memastikan bahawa keputusan yang telah diambil itu adalah keputusan yang terbaik bagi kepentingan sekalian umat. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah bulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal.” 

(Surah Ali Imran:159)

Melalui sikap tawaduk yang dimiliki olehnya, baginda dapat membina hubungan yang baik dengan orang lain dan menjadi pemimpin yang memberi inspirasi terhadap mereka.

Anda pernah mendengar atau membaca buku yang bertajuk “Nabi SAW Juga Seorang Manusia” yang diterbitkan oleh Iman Publication. Buku ini mengisahkan semula tentang kehidupan Nabi SAW daripada baginda lahir sehingga baginda baginda diutuskan menjadi seorang Rasul. Buku ini juga mengingatkan kita bahawa Nabi SAW juga dahulunya adalah seorang manusia biasa sama seperti kita. Baginda pernah merasa sedih, gelisah dan takut kerana baginda pernah melakukan kesalahan terhadap Allah SWT. Walaupun baginda seorang yang maksum, baginda memiliki fitrah manusia yang sama seperti kita.

Artikel ini berkait rapat dengan buku “Nabi SAW Juga Seorang Manusia” kerana masing-masing menceritakan perihal dan akhlak keperibadian Rasulullah SAW. Kedua-dua bahan bacaan ini mampu memberikan motivasi kepada diri sendiri dan menambah keakraban dan kecintaan kita yang lebih mendalam terhadap rasul junjugan kita iaitu Rasulullah SAW. Akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW dalam memimpin umatnya telah memberikan inspirasi dan teladan kepada seluruh manusia. Seseorang itu dapat menjadi pemimpin yang baik apabila dia mencontohi akhlak baginda. Semoga kita menjadi pemimpin yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan memimpin manusia ke jalan yang benar.


Artikel ditulis oleh,

FHATIMAH BINTI SAHRUDIN 

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Penulis Tamu FHATIMAH BINTI SAHRUDIN | Social media
MAHASISWI UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *