Al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding kitab lain sebelum ini.
Allah sangat memelihara kandungan al-Quran sehingga kitab ini masih relevan setelah ke hari ini. Antara isi kandungan al-Quran ialah berkenaan kisah-kisah dari zaman terdahulu, fenomena alam, aqidah, tauhid dan ibadah.
Pendek kata, al-Quran merupakan manual guide dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam.
Table of Contents
Apakah Keistimewaan Al-Quran
Disebabkan keistimewaan kitab al-Quran, ramai yang tampil untuk membuat analisa berkenaan kandungan al-Quran yang tidak terdapat dalam kitab lain. Jadi, kami akan kongsikan pada kali ini berkenaan keistimewaan al-Quran serta dilengkapi dengan dalil dan bukti sahih.
1. Keasliannya Masih Terpelihara
Walaupun kebanyakan kitab sebelum ini telah banyak diubah, namun keaslian kitab Al-Quran masih terpelihara hingga ke hari ini. Terdapat juga cubaan untuk memalsukan dan mengubah isi kandungan Al-Quran, namun segalanya gagal dan dapat dikesan.

Antaranya disebabkan sejak penurunan Al-Quran, Al-Quran sangat dijaga rapi dari segi tulisan dan hafalan. Hal ini telah dibuktikan melalui ayat ke-9 di dalam Surah Al-Hijr,
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Surah Al Hijr : 9)
Selain itu, Allah juga pernah menukilkan di dalam Al-Quran bahawa tiada siapa pun yang dapat meniru kandungan Al-Quran.
- Allah mencabar untuk membuat isi persis seperti Al-Quran, sebagaimana yang tertera dalam surah Ath-Thur : 33 & 34
- Allah merendahkan cabaranNya iaitu hanya beberapa surah sahaja; yang tertera dalam Surah Hud : 13
- Allah mencabar kali ketiga, yang lebih ringan dari sebelumnya dengan hanya membuat satu surah sahaja. Ini seperti yang tertera dalam Surah Yunus : 38
- Dan cabaran yang itu pun mereka gagal memenuhinya. Maka Allah mencabar dengan cabaran yang terakhir yang paling ringan iaitu mendatangkan ayat-ayat seperti ayat Al-Quran. Hal ini tertera dalam Surah Al-Baqarah : 23
Sangat istimewa kerana dari zaman dahulu lagi, ramai yang telah cuba untuk mengubah isi kandungan Al-Quran. Tapi sehingga sekarang, kandungan Al-Quran masih terjaga.
2. Dapat Dibuktikan Dengan Sains Moden
Penemuan fakta di dalam Al-Quran yang selari dengan sains moden seringkali membuatkan sesiapa sahaja kagum.
Mana tidaknya, kitab ini telah diturunkan sejak 14 abad yang lepas dimana manusia pada masa itu masih belum dapat membuat sebarang kajian ilmiah.
Antara penemuan yang membuatkan pengkaji kagum dengan kandungan kitab Al-Quran ialah berkenaan terpisahnya air masin dan air tawar.

Firman Allah dalam surah Al-Furqan, ayat 53 yang bermaksud;
“Dan Dialah yang mengalirkan dua laut berdampingan, yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit, dan Dia menjadikan antara keduanya pemisah dan batas yang menghalangi.” – (Surah Al-Furqan: 53)
Menurut ayat di atas, Allah menyatakan bahawa wujudnya batasan yang telah memisahkan air tawar dan air masin.
Namun, pemisahan tersebut bukanlah dari sudut fizikal. Ianya berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu, kadar keasinan dan tahap ketumpatan yang berbeza.
Selain itu, terdapat juga berkenaan penciptaan manusia di dalam Al-Quran. Ianya disebut di dalam surah al-Mu’minuun 23:12-14
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) Nutfah (air benih) pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan Nutfah (air benih) itu menjadi sebuku Alaqah (darah beku). Lalu Kami ciptakan Alaqah (darah beku) menjadi seketul Mudghah (daging yang dikunyah); kemudian Kami ciptakan Mudghah (daging yang dikunyah) itu menjadi beberapa Izam (tulang); kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan Lahm (daging). Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
Memang menakjubkan bila kita fikir. Kerana penemuan ini memerlukan alatan yang canggih bagi mengkaji fenemona ini, namun umat Islam telah mengetahui dari Al-Quran sejak dulu lagi.
3. Mempunyai Keindahan Sastera Yang Tinggi
Al-Quran jugamempunyai gaya bahasa sastera yang tinggi dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun.
Antara sasterawan terkemuka pada zaman itu seperti Hassan Ibnu Thabit, Kaab Ibnu Malik dan Abdullah Ibnu Rawahah juga tersentak apabila mendengar Al-Quran buat kali pertama. Akhirnya, mereka semuanya telah memeluk Islam. Begitu juga halnya dengan Saidina Umar al-Khattab RA.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatu pun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).”
Surah Ar-Ra’d : 37
Disebabkan gaya sastera yang terkandung dalam Al-Quran inilah, tiada sesiapa pun yang dapat mencipta ayat yang serupa dengannya.
4. Menghuraikan Perkara Masa Lalu Dan Masa Akan Datang Dengan Tepat
Disamping itu, antara keistimewaan Al-Quran ialah kandungannya menghuraikan berkenaan perkara masa lalu dan masa akan datang dengan tepat.
Antara kejadian yang telah diramalkan dan terkandung dalam Al-Quran ialah di dalam Surah Ar-Ruum ayat 1-4,
“Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira.”
Allah telah menyebaut bahawa bangsa Romawi akan menemui kemenangan setelah dikalahkan. Akhirnya beberapa tahun selepas itu, mereka berjaya mencapai kemenangan apabila menentang Parsi.
Namun, antara yang menarik ialah apabila disebutkan berkenaan ‘tempat yang dekat’. Antara lainnya turut bererti ‘tempat paling rendah di bumi’.
Ianya merupakan fakta geografi yang belum pernah diketahui oleh sesiapa pun pada ketika itu. Setelah kajian dilakukan, bumi yang paling rendah di bumi adalah di lembah Palestin.
Menakjubkan bukan?
5. Mudah Dihafal
Al-Quran merupakan satu-satunya kitab suci yang telah dihafal ramai manusia di seluruh dunia. Walaupun Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, ramai yang tidak mampu berbahasa Arab turut mampu menghafal kandungan Al-Quran.

Ini terbukti apabila kitab ini juga mampu dihafal oleh kanak-kanak.
Antara tokoh yang berjaya menghafal Al-Quran sejak kecil seawal umur 5 tahun ialah Ibnu Sina. Ibnu Khaldun pula menghafal Al-Quran pada usia 7 tahun dan Imam Syafi’e menghafal Al-Quran pada umur 7 tahun.
Walaupun senaskah Al-Quran mempunyai sebanyak 114 surah dan 6,236 ayat, ramai yang telah berjaya menghafal senaskah Al-Quran dengan mudah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?”
Surah Al-Qamar: 17
Kesimpulan
Setelah kita tahu berkenaan betapa istimewanya Al-Quran, baru rasa timbul lebih banyak minat untuk mendalami dan memahami Al-Quran. Keistimewaan kitab Al-Quran memang tiada tolok bandingannya.
Kitab suci ini sewajarnya dibaca dan difahami oleh setiap umat Islam. Hal ini demikian kerana kitab ini diumpamakan sebagai manual guide bagi setiap umat manusia. Membaca Al-Quran juga dikira ibadah dan terdapat pahala bagi sesiapa yang membacanya.
Jadi marilah kita mengamalkan dan melazimi untuk membaca Al-Quran setiap hari.
Dapatkan buku Keistimewaan-Keistimewaan Al-Quran oleh Sayid Muhammad Alwi Al-Maliki
Dapatkan juga Al-Quran dan buku tadabur Al-Quran dengan harga istimewa di sini.
Terbaik
Mulakan Hijrah dengan membaca!