“Podcast? Hm, macam pernah dengarlah. Tapi apakah itu? Adakah ia nama lain bagi radio?” Haa, saya tahu ramai lagi yang masih belum kenal dengan platform yang baru meningkat naik ini. Hal ini kerana, podcast ini boleh dikatakan baru juga diperkenalkan, iaitu semenjak tahun 2004. Sehingga kini, kadar penggunaannya semakin meningkat.
Ia sebenarnya telahpun popular di kalangan masyarakat luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Namun di Malaysia, diakui masih belum digunakan secara meluas, adapun hanya kelompok tertentu sahaja.
Tidak pelik pun dengan situasi itu sebenarnya memandangkan wujudnya pilihan-pilihan lain yang sudah tersedia ada menapak dalam hati rakyat Malaysia. Yang dimaksudkan adalah platform-platform hiburan seperti radio, televisyen yang memang diketahui dominasinya.

Tetapi saya percaya, tiap-tiap platform itu mempunyai operasi dan pendekatannya yang berbeza. Semestinya ada kelebihan dan kekurangannya masing-masing. Terpulanglah kepada citarasa masyarakat nak pilih yang mana satu. Hal ini kerana, objektif utama yang sebenarnya adalah manfaat apa yang dihidangkan kepada khalayak.
MENGENALI PODCAST
Mari kita berkenalan dengan podcast. Podcast adalah sebuah digital audio yang dihasilkan dalam bentuk rakaman. Apabila kita mengaksesnya, kita akan dengar ada orang yang bercakap dan menceritakan tentang sesuatu. Ia boleh jadi dalam bentuk siri perbincangan, ulasan, puisi, muzik, buku audio, berita bahkan dokumentari.

Cara mengaksesnya pun senang, anda hanya perlu buka mana-mana aplikasi podcast di telefon bimbit misalnya di spotify, kemudian cari tajuk podcast yang anda nak. Selepas itu, pilih tajuk yang tertentu dan terus boleh dengar. Mudah bukan? Sambil-sambil itu, kita bolehlah buat aktiviti yang lain juga. Misalnya, podcast sangat sesuai didengar ketika sedang memasak. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Nanti anda bukan saja dapat memamah makanan, bahkan juga memamah ilmu yang mengenyangkan minda.
BERBEZA DARIPADA RADIO
Untuk mudah kenal, fungsinya macam radio juga, iaitu sama-sama memperdengarkan suara dan bunyi. Tetapi antara yang menjadi perbezaannya adalah daripada segi isi kandungan audio. Hal ini kerana, kandungan podcast dilihat lebih ringkas dan padat jika hendak dibandingkan dengan radio kerana setiap episodnya telah dirakam dan disunting lebih awal. Jadi segala apa yang kita dengar itu adalah hanya berkisarkan tajuk yang tertera sahaja, sudah tidak menyimpang ke perihal lain.

Di samping itu, menggunakan podcast sememangnya lebih praktikal berbanding radio kerana semua topik yang kita nak dengar, kemungkinan besarnya ada. Sebab setiap siri yang ditebitkan sudah disusun rapi dan diklasifikasikan mengikut kategori. Misalnya, kalau anda meminati bola sepak, anda bolehlah tulis di bahagian carian, “Ulasan perlawanan Liga Perdana Inggeris”. Nanti akan keluar siri-siri ulasan yang berkenaan. Katakan anda meminati sebarang bentuk perkongsian ilmu, bolehlah mendapatkan siri-siri podcast di channel IMAN +. Di situ terdapat banyak topik menarik yang disampaikan oleh para ilmuwan.
Berbeza dengan radio, topik yang dibualkan sentiasa bersilih ganti mengikut segmen. Sebagai contoh, kalau segmen pagi mereka berbicara mengenai motivasi, segmen petang mungkin berkenaan sukan pula. Menjadikan kita tiada pilihan selain mendengarkan sahaja apa yang mereka sediakan pada waktu-waktu tersebut. Tegasnya, daripada segi kandungan, podcast lebih signifikan dalam memenuhi permintaan pendengar.
KELEBIHAN
Di samping itu, podcast bersifat lebih fleksibel. Anda boleh dengar podcast pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua. Hal ini memudahkan kita untuk belajar banyak benda dalam masa yang singkat. Asalkan ada peranti canggih dan internet, anda dapat menikmatinya!
Sekiranya anda terlepas apa yang diperkatakan oleh penyampai, jangan risau kerana anda boleh laraskan masa-masa yang anda mahukan pada siaran audio itu. Audio itu akan mengulang pada bahagian tersebut. Seperti yang kita selalu buat pada video ‘Youtube’ itulah, pergerakan video boleh diundur ke belakang dan juga diheret ke depan. Jelaslah bahawa pendekatan podcast ini memang fleksibel dan memudahkan!
TIADA IKLAN
Tambahan pula, podcast ini bebas daripada sebarang iklan. Langsung tiada iklan yang melintas berbanding radio yang ada kalanya lebih banyak iklan daripada kandungan asal. Selalu jugalah ketika saya tengah asyik melayan lagu di radio, tiba-tiba keluar suara penjual memasarkan produk mereka. Hal ini sememangnya mengganggu sehingga rasa nak tutup radio. Tetapi perkara sebegitu tidak berlaku kepada platform podcast kerana pengisian audio itu disampaikan secara straight to the point.
SESUAI UNTUK GOLONGAN AUDITORI
Sebagaimana yang kita tahu, kita memang dahagakan ilmu dalam kehidupan. Jadi untuk memperolehinya, ada kaedahnya. Kaedah yang pertama dan yang paling utama adalah melalui pembacaan.
Selain daripada membaca, kemahiran mendengar pun penting bagi mendapatkan ilmu pengetahuan. Sebagaimana yang kita tahu, ada golongan yang mudah mengantuk bila membaca, mereka ini lebih cepat faham akan sesuatu melalui cara mendengar. Kelompok sebegini digelarkan sebagai golongan auditori. Jika anda rasa anda adalah golongan tersebut, maka sudah terang lagi bersuluh, platform podcast ini diciptakan buat anda.

Saya sendiri merupakan peminat kepada platform podcast ini. Misalnya topik yang saya dengar baru-baru ini bertajuk ‘Aku dan Muhammad’ yang disampaikan oleh Ustaz Khubaib Akhi melalui channel spotify IMAN Plus. Ia adalah perkongsian tentang bagaimana hubungan kita dengan Nabi Muhammad SAW dapat dirapatkan lagi. Dengan berlatarbelakangkan muzik yang relaks, suara Ustaz Khubaib memang sangat jelas dalam memecahkan sepi serta kejahilan diri.
Saya pasti akan mendengar lagi siri-siri yang seterusnya untuk mendapatkan kesinambungan sekaligus memeriahkan telinga dengan cerita yang hebat serta memberi pedoman.
Jadi bagaimana dengan anda? Pernah dengar mana-mana podcast? Kalau belum, mungkin boleh cuba dengar di spotify atau youtube channel ‘IMAN TV’.
https://open.spotify.com/show/5EHsHAXNF3PNPaqSGTtTgv?si=EoGh9lDWT62sxgfd9rOuEQ&utm_source=copy-link
https://www.youtube.com/c/IMANTV4U
Moga bermanfaat!