Kenapa Maryam berdoa untuk mati?

“Lebih baik aku mati sahaja dari menghadapi kecaman dan makian dari kaumku atas kandungan yang tidak berbapa ini.”

Inilah kata-kata seorang wanita suci, yang tidak pernah melakukan maksiat, yang kemudiaannya kita temui kisahnya dalam Al-Quran, beliau menjadi penghuni syurga dan tercatat sebuah surah atas namanya, Maryam.

Sekali imbas apabila kita bacakan kata-kata di atas, timbul di benak pemikiran kita, apakah Maryam ini lemah imannya sehingga sanggup berdoa untuk mati? Apakah Maryam tidak redha dengan ketentuan takdir Ilahi terhadap hidupnya?

Tentu sekali tidak.

Kerana kita tahu, atas asbab kata-kata itulah, turunnya malaikat memberikan perintah kepada Maryam agar tidak bersedih hati dan dijadikan nikmat-nikmat lain bagi mempermudahkan proses kelahiran bayi yang bakal menjadi Rasul Allah di atas muka bumi, iaitu Nabi Isa a.s. Kerana kata-kata itulah, Malaikat mengenali dan mencintai wanita bernama Maryam binti Imran ini. 

Hal inilah yang ditadaburkan oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman, penulis buku Perempuan Yang Baik-baik Dalam Al Quran dan In Their Tested Moments, ketika menjadi penceramah dalam satu kelas atas talian (online class) anjuran IMAN+ yang bertajuk Presence of the Heart: Embracing Mindfulness In Times of Distractions.

“Apakah kekuatan Maryam untuk bersabar menghadapi kecaman Bani Israel?

Malaikat datang kepada beliau menyampaikan berita dari Allah agar beliau tidak takut dan tidak risau,” nasihat Ustaz Syaari.

Pada saat malaikat mencintai kita, malaikat akan sentiasa berada di sisi kita, dan tidak akan meninggalkan kita melainkan dengan doa. Pada saat malaikat mengenali dan suka mendampingi kita, itulah sumber kekuatan seseorang manusia ketika menghadapi apa jua musibah yang melanda – kerana malaikat akan sentiasa mendoakan kita.

Namun persoalannya, bagaimanakah kita ingin mendapatkan cinta dari para malaikat ini? Apakah mungkin insan biasa seperti kita yang penuh dengan kotor-kotor dosa ini dicintai oleh makhluk taat seperti malaikat?

Maka, mari kita selak lembaran sumber utama ilmu dalam agama kita iaitu Hadis Nabi Muhammad saw untuk mencari jawapannya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari, beliau mencatatkan bahawa pada suatu hari Abu Hurairah mendengar Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud: 

Sesungguhnya Allah Ta’ala jika mencintai seseorang, maka Allah akan memanggil Jibril , ‘(wahai Jibril) Sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah dia, sehingga Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril memanggil seluruh penghuni langit seraya berseru, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia, maka penghuni langit pun mencintainya, sehingga orang tersebut diterima oleh penduduk bumi.” (HR. Al-Bukhari).

Di sini kita belajar bahawa malaikat akan mencintai seseorang, hanya apabila Allah juga mencintai dia. Dan apabila Allah dan malaikat mencintainya, maka seluruh penghuni langit yang bertingkat-tingkat dan penduduk bumi juga mencintainya. 

BACA JUGA  Jahiliah Dikaitkan Dengan 4 Ayat Al-Qur'an

“Sebab itu Malam Al Qadr (dalam bulan Ramadhan) kita kena rebut,” demikian nasihat Ustaz Syaari Abdul Rahman dalam kelas online Presence of the Heart, “kerana para malaikat akan turun dan ingin berkenalan dengan mereka yang bangun pada malam berkenaan. Kena bangun setiap malam (pada 10 malam terakhir) kerana kita ingin diri kita dikenali oleh malaikat.” 

Apabila malaikat kenal dengan kita, maka malaikat akan mencintai dan akan sentiasa mendampingi kita. Dan apabila malaikat mencintai kita, maka malaikat akan sentiasa mendoakan kebaikan untuk kita. Doa inilah yang akan menurunkan ketenangan dan kekuatan ke dalam hati kita atas izin Allah. Kerana kita tahu dari kisah Maryam, antara sumber ketenangan dan kekuatan beliau ialah datangnya dari doa malaikat yang membawa berita gembira dari Allah.

Pada zaman sekarang ini, kita mengaku bahawa sukar untuk mewujudkan rasa cinta kepada Allah dan malaikat kerana terlalu banyak gangguan yang wujud yang menjarakkan hati kita dengan Allah dan malaikat. Perihal pandemik dan endemik COVID-19, isu harga barang naik, peperangan di Ukraine, tekanan terhadap rakyat Islam di Masjid Al-Aqsa dalam bulan suci Ramadhan dan banyak lagi perkara yang berlaku menyebabkan kita sukar untuk menguruskan emosi kita apatah lagi mencari jalan untuk mendekatkan diri kita kepada agama.

Acapkali kita merasakan cara untuk mendapatkan kasih sayang Allah dan para Malaikat ialah melalui ibadah-ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Kita terlupa bahawa setiap aspek kehidupan kita juga boleh dijadikan asbab turunnya rahmat dan cinta Allah dan para malaikat ke atas kita. 

Maka kita belajar dalam kehidupan para Nabi dan sahabat bahawa dalam diam kita, wujud peluang untuk beribadah kepada Allah. Kita belajar dalam rutin harian para solehin bahawa dalam pertuturan dan pergaulan kita bersama orang lain, terdapat kesempatan untuk merasakan keberadaan Allah dan para malaikat di sisi kita. Kita belajar melalui akhlak mereka, walaupun dalam kesedihan mahupun kegembiraan, dalam kesusahan mahupun kesenangan, ketika berseorangan mahupun dalam keramaian, terdapat jalan-jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan para malaikat.

BACA JUGA  “Oops, I did it again!” - Of Repentance and Hope

“Sentiasa rasai kewujudan dan keberadaan Allah,” demikian kata-kata hikmah dari Ayesha Syahira, penulis buku Befriending The Quran dan Longing For God’s Closeness, ketika memberikan perkongsian dalam kelas online Presence of the Heart, “tidak kira di mana atau dengan siapa anda berada. Dan yakinlah bahawa Allah sentiasa akan kurniakan perkara yang terbaik kepada kita, untuk kita mencapai objektif utama kita iaitu masuk ke dalam syurga”.

Memahami konsep ibadah sebenar dan sentiasa merasakan keberadaan Allah dan para Malaikat dalam hidup kita ialah langkah pertama untuk meraih cinta Allah dan malaikat. Kerana kita tahu, apabila malaikat kenal dan suka berada di sisi kita, pada saat itu, hidup kita akan menjadi lebih tenang dan Allah akan turunkan bantuan dari sudut yang tidak disangka-sangka, sepertimana yang disebutkan dalam kisah Maryam binti Imran dan kisah-kisah lain yang dicatatkan dalam Al Quran.

Selain Ustaz Syaari Abdul Rahman dan Ayesha Syahira, turut serta berkongsi dalam kelas online Presence of the Heart ialah Imran Zaki, penulis buku Mendakap Kesedihan Dengan Al Quran, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, penulis buku Siri Berteduh, Iman Salam, Ustazah Zaynab Talha dan Syeikh Mikhaeel Smith. Kelas online Presence of the Heart ini diadakan bagi memberikan perspektif sebenar ibadah dalam Islam yang tidak hanya termaktub di dalam ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Selain itu, penceramah yang pakar dalam bidang masing-masing ini juga berkongsi ilmu bagaimana untuk merasakan keberadaan Allah dalam setiap aspek kehidupan kita.

Dapatkan kelas online Presence of the Heart: Embracing Mindfulness in Times of Distractions di imanshoppe.com dengan harga promosi sepanjang Ramadhan dan Syawal dan nikmati akses SEUMUR HIDUP sekiranya anda membuat pembelian sekarang! Layari https://www.imanshoppe.com/products/presence-of-the-heart-embracing-mindfulness-in-times-of-distractions sekarang.

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Penulis Tamu Zumar Ali | Social media

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *