3 Tips Rumah Tangga Bahagia Daripada Para Nabi

Rumah tangga yang bahagia adalah impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Rumah tangga yang dipenuhi dengan kasih sayang, rasa hormat dan penuh tolak ansur. Tiada pasangan yang mengimpikan sebaliknya.  Inilah sebahagian cita-cita dan tujuan perkahwinan itu sendiri, sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚإِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.

(Surah Al-Rum: 21)

Namun, ia bukanlah suatu yang mudah. Kedua-dua suami dan isteri haruslah saling berusaha dan melaksanakan peranan masing-masing bagi membina rumah tangga bahagia yang diimpi. Untuk mencapai cita-cita ini, perlunya panduan bagi kedua pasangan. Al-Quran sebagai kitab rujukan utama umat Islam pastilah telah menyediakan contoh dan teladan dari kisah-kisah rumah tangga para nabi. Antara tips yang boleh kita amalkan adalah:

1. Melapangkan masa buat pasangan walau sesibuk mana pun

Apabila masing-masing suami dan isteri sibuk dengan kerjaya dan kegiatan setiap hari, kadang-kadang tidak ada lagi masa tersisa untuk diluangkan bersama pasangan. Hal ini menjadikan pasangan semakin menjauh dan terbiasa melakukan semuanya sendiri. Berkurangnya interaksi dan kemesraan antara pasangan.

Nabi Muhammad menjadi contoh dan memberi teladan kepada kita agar tetap melapangkan masa buat pasangan walau sesibuk mana pun kita. Jika dilihat jadual kehidupan harian Rasulullah yang begitu padat dek kerana tanggungjawab yang dipikulnya sebagai Rasul Allah, ketua negara, komander perang dan imam di Masjid Nabawi menjadikan Baginda individu yang paling sibuk. 

Namun sebaliknya apa yang kita dapat pelajari dari kisah Nabi SAW dengan isteri Baginda Safiyyah adalah Baginda akan melapangkan masanya buat si isteri. Suatu hari ketika Safiyah mencari Baginda kerana ingin meluahkan masalah yang dihadapinya, Safiyyah mendapati Baginda sedang beriktikaf di masjid. Apabila menyedari Saffiyah RA datang, Baginda SAW melapangkan masa untuk mereka berbincang sehingga selesai dan menemani Safiyyah pulang ke rumah. 

Demikianlah contoh bagaimana Rasulullah SAW tidak menjadikan kesibukannya sebagai alasan untuk tidak meluangkan masa buat isterinya. Apa lagi memarahi isterinya kerana menggangu ibadah Baginda. Inilah hasil didikan dari al-Quran. Segala apa yang Baginda lakukan adalah tafsiran daripada al-Quran. 

BACA JUGA  The Magic of Shared Book Reading

2. Suka bersembang dan mendengar pasangan dan anak-anak

Komunikasi dalam perhubungan umpama oksigen pada kehidupan. Ia terlalu penting, tanpa oksigen manusia akan mati. Begitu juga dalam sebuah perhubungan keluarga, tanpa komunikasi menjadikan rumah tangga itu akan semakin hambar dan banyak masalah lain akan timbul. 

Kita dapat pelajari sikap ini dari kisah Nabi Ibrahim dengan anaknya. Suatu hari Baginda diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya. Perintah ini dapat dilihat dalam ayat 102 Surah al-Saaffat

يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ 

Maksudnya: (Ibrahim berkata) wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. 

Jika dilihat daripada ayat ini, perintah menyembelih anaknya adalah datang daripada Allah. Baginda boleh sahaja melakukanya serta merta sebagai bukti ketaatan Baginda kepada Allah tanpa meminta izin anaknya, namun sebagai seorang ayah yang begitu menghargai anaknya, Baginda bertanya pendapat anaknya terlebih dahulu. Apakah pendapat anaknya itu mengenai perintah Allah tersebut. Baginda mendengar pendapat anaknya. 


Selain itu, kita dapat tengok juga dalam Kisah Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf. Nabi Yaakub merupakan seorang ayah yang begitu rajin bersembang dengan anaknya. Oleh kerana itu, ketika mendapat mimpi yang tidak difahami Nabi Yusuf, Baginda boleh menceritakan dan meminta pendapat ayahnya.


اِذْ قَالَ يُوْسُفُ لِاَبِيْهِ يٰٓاَبَتِ اِنِّيْ رَاَيْتُ اَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَّالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَاَيْتُهُمْ لِيْ سٰجِدِيْنَ

Maksudnya : (Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku! Sungguh, aku (bermimpi) melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku.”

Berinterkasilah sesama pasangan dan anak-anak. Luangkan masa untuk bersembang setiap hari. Bertanyakan khabar, meminta pendapat dan apa sahaja perkara yang boleh dibualkan. Simpan seketika gadget kita. Budaya bersembang ini perlu diterapkan dari awal bersama pasangan atau keluarga agar ketika anak besar dia sudah terbiasa dengan budaya ini. Hal ini dapat membina kepercayaan kepada si anak untuk berkongsi masalah yang dihadapinya dan meminta pendapat ibu serta ayahnya.

Banyaknya bersembang dan mendengar juga menjadikan kita akan lebih memahami perasaan dan fikiran pasangan atau anak-anak. Apa yang mengganggu fikirannya atau apa yang terbuku di hatinya. Suasana ini dapat menjemput barakah dan syurga masuk ke rumah kita. 

3. Memelihara keaiban dan rahsia pasangan

Di zaman serba canggih dan segalanya di hujung jari ini, tips ini seringkali kita terlepas pandang. Lebih-lebih lagi dengan kemudahan aplikasi ‘story’ di whatsapp, instagram, facebook dan juga di sosial media yang lain. Kita jadi mudah berkongsi kehidupan harian kita. Tanpa sedar mungkin ada rahsia pasangan atau sesuatu yang tidak digemari pasangan yang telah kita kongsikan walaupun tujuan asalnya hanyalah sebagai bahan mencuit hati atau inspirasi kepada orang lain.

Ini dapat dilihat dalam surah an-Nisa’, Allah menyebut antara ciri suami dan isteri yang soleh di akhir zaman ini adalah isteri yang memelihara diri dan keaiban suami ketika ketiadaan suaminya. 

BACA JUGA  Banyak Membaca adalah Satu Keajaiban Dunia Zaman Ini

فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّٰهُ… 

Maksudnya : Maka perempuan-perempuan yang saleh adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, karena Allah telah menjaga (mereka).

Kita boleh mengambil iktibar juga dalam surah at-Tahrim apabila Allah menegur para isteri Nabi SAW dengan tegas. Bukan hanya dalam satu dua ayat tetapi hampir keseluruhan isi surah ini membicarakan peristiwa ini. Peristiwa ini berlaku apabila Hafshah RA telah berpakat dengan Aisyah RA untuk mengatakan bahawa mulut Rasulullah SAW berbau kerana makan madu di rumah isteri Baginda SAW, Zainab RA. Padahal tidak berbau pun mulut Baginda SAW. Lalu Rasulullah SAW memberitahu kepada Hafshah RA, “Hari ini aku haramkan madu daripada mulutku, kerana kamu telah menghidunya.” Baginda SAW meminta Hafshah RA merahsiakan namun Hafshah RA tetap memberitahu Aisyah RA.

Kita memahami dari kisah ini, apa yang suami minta rahsiakan, harus dijaga dengan rapi. Bimbang menjadi aib buat suami jika kita mengongsikannya walaupun kepada rakan baik atau ahli keluarga. Jangan mengambil ringan perintah ini. Kedamaian rumah tangga boleh tergugat kerana perkara ini. Mungkin kelihatan kecil tetapi inilah tanda penghargaan dan penghormatan kita kepada pasangan. Gembirakanlah pasangan dengan menjaga aib dan rahsianya serta hanya berkata perkara yang disukainya. 

Demikian tiga tips yang kelihatan mudah namun memerlukan latihan demi latihan untuk terus mengamalkannya dalam kehidupan berumah tangga. Rumah tangga yang bahagia bukanlah rumah tangga yang sempurna, tetapi yang setia menyayangi dan berusaha menambah baik setiap hari tanpa jemu. Untuk lebih banyak tips menarik boleh dapatkan buku tulisan Ustaz Syaari Ab Rahman bertajuk Keluarga yang Setia Menyayangi dalam Al-Quran.

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Hidayah Hamid | Social media
Content Writer IMAN

2 thoughts on “3 Tips Rumah Tangga Bahagia Daripada Para Nabi”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *