Apabila tiba di kedai buku, kita akan menemukan pelbagai jenis buku yang tersusun rapi di atas rak. Lazimnya, peminat buku akan menjadi rambang mata apabila melihat aneka buku dengan genre yang berbeza. Tiap-tiapnya membawakan topik-topik yang berlainan. Kalau diikutkan hati, mahu saja untuk membeli semuanya. Mana tidaknya, tajuk setiap buku yang dihidangkan sungguh unik dan menarik perhatian. Tambahan pula dengan kulit buku yang direka menggunakan warna-warna yang terang dan meriah mencetuskan lagi keterujaan buat sekalian peminat buku. Hal ini seringkali mengundang dilema buat kita untuk membuat keputusan buku mana yang ingin dibeli. Lantaran daripada itu, saya akan berkongi beberapa tips bagi membantu anda membuat pilihan:
Table of Contents
Tips 1 :Penulis buku
Untuk menentukan sebuah buku itu benar-benar berkualiti, bukanlah hanya sekadar menilai daripada kulit atau kandungannya sahaja. Malah aspek keilmuan, peribadi dan kemahiran penulis juga perlu diambil kira dan ditimbang tara. Ibarat kita berguru, tentunya kita mahu berguru dengan orang yang berilmu bukan? Yang mahir dalam bidangnya. Sementelah dalam situasi hari ini, tatkala guru tidak dapat bersama sepanjang masa dan berlakunya kemajuan dalam industri pencetakan, maka bukulah yang menjadi wakil pemikiran dan idea seorang guru. Pesan Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
“Apabila kita ingin mencari buku, carilah buku yang dikarang oleh orang yang merupakan ahli dalam ilmunya, iaitu mereka yang beramal dan memperjuangkan dengan ilmu yang ditulis.”
Justeru itu, adalah lebih baik untuk kita mengenali serba sedikit latar belakang pengarang buku sebelum membelinya supaya dapat memastikan pemikiran yang terkandung dalam buku itu tidak menyeleweng, sebaliknya dapat diambil pengajaran dan dimanfaatkan secara optimum.
Tips 2 : Ulasan buku
Di kedai buku, kita dilarang untuk membuka dan membelek bulu melainkan telah melakukan transaksi pembayaran. Oleh kerana itu, pembaca sewajarnya melihat dahulu sorotan ulasan atau reviu di kulit belakang buku sebagai maklumat asas dan gambaran awal tentang kandungan keseluruhan sesebuah buku tersebut.
Selain di belakang buku, ulasan mengenai buku tersebut boleh di dapati di goodreads, website penerbit buku tersebut atau sosial media mereka. Misalnya untuk buku-buku IMAN Publication, ulasan buku yang dikongsi oleh pembaca boleh dilihat di website imanshoppe.com atau di sosial media IMAN.
Dengan membaca ulasan tersebut kita menjadi lebih yakin untuk mendalami dengan lebih terperinci inti sari yang terkandung di dalamnya. Dalam masa yang sama, kita sudah mengenal pasti sama ada buku itu sesuai atau tidak dengan citarasa diri. Jelaslah, sebelum memilih buku, kita seharusnya mengimbas sekali lalu reviu yang terpapar bagi mendapatkan penjelasan demi mendapatkan buku yang terbaik.

Tips 3 : Topik
Topik juga menjadi satu elemen mustahak dalam pemilihan sesebuah buku. Pembaca yang selektif akan memilih topik mengikut ilmu atau bidang pengetahuan masing-masing. Jarang berlaku peminat puisi dan sastera membeli buku teknologi. Jarang juga peminat sukan membeli buku memasak. Sebab itu kita dapat lihat di perpustakaan atau di kedai buku, susun atur buku telah dikemaskan mengikut topik.
Misalnya, ada rak yang dikhaskan untuk komik bergenre aksi dan ada pula rak yang membariskan novel-novel percintaan. Penyusunan sebegini dilakukan bagi memudahkan kita sebagai peminat buku untuk menemukan buku yang diminati. Dengan sebab itu, kita seharusnya sudah menetapkan dari awal, topik yang bagaimana yang diidamkan lalu hanya menggapai buku tersebut dari rak yang betul.

Tips 4 : Kandungan Buku
Dalam melayari kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada hinggapan masalah. Yang mana tiap-tiapnya mendambakan penyelesaian. Untuk mendapatkan penyelesaian tersebut, kita tidak mampu melaluinya secara berseorangan, perlunya ada bantuan daripada pihak yang lain juga. Tidak semestinya manusia, buku pun antara yang mampu memberikan sokongan serta solusi yang terbaik.
Carilah bahan bacaan yang sesuai dan berkaitan dengan kesulitan yang kita hadapi. Sebagai contoh, kita selalu boros dalam berbelanja, jadi pilihlah buku tentang pengurusan kewangan yang akan mendorong kita untuk lebih bijak menguruskan kewangan.

Demikianlah antara tips yang boleh dipraktikkan sebelum memilih sesebuah buku. Perkara-perkara ini penting bagi memastikan masa yang kita luangkan atau duit yang kita keluarkan untuk sesebuah buku itu berbaloi dan bermakna. Tahniah atas minat anda terhadap buku kerana anda sedang berada pada jalan yang betul. Teruskan menjadikan budaya membaca sebagai aktiviti wajib demi menyahut pesan Allah SWT dalam surah Al-Alaq.
Selamat memilih buku yang terbaik buat anda! Boleh pilih di Imanshoppe.com!