Para pencinta buku semestinya mempunyai keinginan yang besar untuk menjadikan mengumpul buku sebagai hobi. Namun, tidak semua mampu untuk memiliki naskhah-naskhah buku yang baharu kerana harganya yang tinggi. Sesetengah mereka lebih suka berkunjung ke kedai buku terpakai untuk membeli judul yang sama pada harga yang lebih rendah.
Memang ramai orang kenal kedai buku seperti Kinokuniya, Bookxcess, MPH, Popular dan juga IMAN Shoppe (ini memang blog kedai buku pun). Tapi biasanya kedai buku seperti ini hanya jual buku-buku yang baru. Bukan buku yang pernah dibeli oleh orang lain.
Jadi, untuk para pembaca yang inginkan buku terpakai pada harga yang berpatutan, artikel ini akan menyenaraikan kedai buku terpakai di sekitar KL dan Selangor.
Table of Contents
1. Jumble Station
Jumble Stations merupakan inisiatif badan bukan kerajaan (NGO Parents Without Borders) untuk meraih dana untuk disalurkan kepada ibu atau bapa tunggal tanpa mengira bangsa atau agama. Mula beroperasi sejak tahun 2008 di Subang Jaya, Jumble station beroperasi menjual buku-buku terpakai yang diderma oleh orang awam.
Alamat: F1, Angsana Flats, 01-03, Persiaran Subang Mewah, USJ 1, 47620 Subang Jaya, Selangor
Waktu operasi: 10 pagi – 6 petang
2. Kedai Buku
Terletak di Central Market, Kedai Buku merupakan sebuah kedai yang telah beroperasi sejak 1986 lagi. Meskipun kecil tapak operasinya, Kedai Buku dipenuhi dengan buku-buku terpakai dan juga buku-buku baru. Koleksi buku yang sering dijumpai di kedai ini termasuklah dari penulis seperti Mills & Boon, Danielle Steele, Dan Brown serta banyak lagi buku panduan pelancongan.

Alamat: G54, Ground Floor, Jalan Hang Kasturi, City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: 10 pagi – 6 petang
3. Junk Bookstore

Para pencinta buku antik sudah pastinya tidak asing lagi dengan kedai Junk Bookstore yang bertapak berhampiran dengan Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Koleksi buku terpakai yang terdapat di Junk Bookstore amatlah berharga dan jika anda bertuah, anda akan terjumpa naskhah terbitan pertama (first edition) di kedai tersebut. Pernah sekali pemilik kedai tersebut telah menjual buku berkaitan sejarah Malaya dengan harga setinggi RM8000.
Alamat: 78, Jalan Tun H S Lee, City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: 8.30 pagi – 3 petang (tutup pada hari Ahad)
4. Buku Terpakai

Buku Terpakai merupakan nama kedai tersebut yang sudah semestinya menjual buku-buku terpakai daripada pelbagai genre. Selain buku, anda juga boleh menjumpai setem, kaset dan juga majalah-majalah lama di kedai ini.
Alamat: 40, Jalan SP3/8, Saujana Puchong, Selangor 47110
Waktu operasi: 9 pagi – 4.30 petang
5. Reader’s Paradise

Para pencinta buku pasti akan hanyut dalam lautan buku terpakai yang dijual di Reader’s Paradise. Buku-buku di kedai ini telah disusun rapi mengikut genre dan anda akan menjumpai buku-buku hasil tulisan penulis terkenal seperti James Patterson, Nicholas Sparks and Jodi Picoult. Selain membeli buku, anda juga boleh memilih untuk menyewa buku di sini.
Alamat: Lot F21E, 1st Floor, Ampang Point Shopping Centre, Jalan Mamanda 3, Taman Dato Ahmad Razali, 68000 Ampang, Selangor
Waktu operasi: 10 pagi – 8 malam
6. Bargain Basement
Di kedai Bargain Basement, anda bukan sahaja akan mendapat tawaran yang lumayan untuk buku-buku terpakai, malah anda juga bakal menyumbang untuk kebajikan. Diuruskan oleh IOI Foundation, semua hasil jualan di kedai ini akan disalurkan ke badan-badan kebajikan seperti Alzheimer’s Disease Foundation MY dan Autism Cafe Project. Kedai ini bukan hanya menjual buku-buku, malah terdapat juga barangan terpakai yang lain seperti baju dan peralatan rumah.
Alamat: EB2-01 (Basement 2), IOI Mall, Puchong, Selangor
Waktu operasi: 10 pagi – 10 malam
7. Book Barter Cafe

Kedai Book Barter Cafe membolehkan para pengunjungnya untuk menukarkan buku lama mereka kepada buku terpakai yang mereka sediakan di rak buku mereka. Terdapat pelbagai variasi buku yang boleh anda pilih termasuklah buku daripada penulis antarabangsa seperti Dan Brown, Sophie Kinsella dan Jojo Moyes. Terletak di Tamarind Square, kedai ini turut menyajikan pastri dan minuman seperti Apple Pies dan Salted Caramel Macchiatos.
Alamat: GP 1-03 Pinnacles North Court Tamarind Square, 63000 Cyberjaya, Selangor
Waktu operasi: 9 pagi – 9 malam
8. Buku by Preloved House

Buku by Preloved House terletak di Kedai KL bersebelahan dengan Universiti Malaya. Kedai ini didedikasikan untuk para pencinta buku yang ingin membeli buku-buku terpakai pada harga yang berpatutan. Selain keunikan interior kedainya yang minimalis, kedai ini juga beroperasi secara layan diri (self-service).
Alamat: Level 2, Kedai KL, Mahsa Avenue (next to University Malaya), Jalan Universiti, Off, Jalan Ilmu, 59100 Kuala Lumpur 59100 Petaling Jaya, Selangor
Waktu operasi: 10 pagi – 9 malam
9. KL Book Exchange
Dalam banyak-banyak kedai buku yang telah dicadangkan, KL Book Exchange merupakan yang paling unik sekali. KL Book Exchange tidak mempunyai kedai fizikal dan beroperasi di kawasan parkir T M Point di Taman Desa. Buku-buku terpakai dipamerkan dalam kotak-kotak. Untuk mendapatkan buku di sini, anda hendaklah membawa sebuah buku anda sendiri untuk ditukarkan dengan buku-buku mereka.
Alamat: Wisma TM open-air car park, Taman Desa, 58100 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Hari Ahad pertama setiap bulan pada 8:45 pagi – 10:45 pagi
10. Warong Buku
Warong Buku merupakan perpustakaan buku fizikal dan digital yang menawarkan buku-buku terpakai kepada para pembaca. Selain jual beli buku terpakai, mereka juga menyewakan buku-buku untuk para pencinta buku. Anda juga boleh bersantai sambil membaca buku di ruang santai yang disediakan di kedai ini.
Alamat: Lot 3809A, Jalan Serindit, Kg. Kebun Baru, 42500 Telok Panglima Garang, Selangor
11. Dokusho Bookstore

Dokusho Bookstore merupakan kedai buku terpakai yang asalnya beroperasi atas talian (online) tetapi kini telah memiliki sebuah kedai fizikal yang bertempat di Old Klang Road, KL. Terdapat lebih daripada 7000 stok buku terpakai yang mereka tawarkan di kedai mereka dengan harga serendah RM7.90. Mereka juga menawarkan buku percuma kepada kanak-kanak dengan inisiatif Children’s Book Bank yang mereka perkenalkan untuk menggalak para ibu bapa untuk membawa anak-anak melawat kedai mereka.
Alamat: C-05-05 (Level 5), Southbank Commercial, Pusat Komersial Tebing Selatan, No. 179, Jalan Klang Lama, 58000 Kuala Lumpur.
Waktu operasi: Sabtu dan Ahad, 9 pagi – 5 petang.
Kesimpulan
Dengan adanya pelbagai pilihan kedai buku terpakai ini pasti akan menyenangkan para bibliofil untuk menambah koleksi bacaan mereka di samping menyumbang kepada usaha untuk mengurangkan sisa dan menyelamatkan bumi daripada pencemaran.
Apakah kedai buku terpakai lain yang kami terlepas pandang? Jemput kongsikan di ruangan komen!
As salam. Saya nak maklum. Kl Book Exchange: kawasan tempat letak kereta menara faber taman desa KL.
Ahad Minggu ke-4 setiap bulan.
Masa: 8.45 pagi-10.45 pagi.
Jumble station.
The School @ jayaone PJ.
Terima kasih.