Akhirnya musuh terbesar kita adalah ketakutan yang bersarang dalam diri. Novel Amukan Manusia Ciptaan adalah siri ketiga dalam Projek Athena. Ia merupakan sebuah novel aksi bergenre sains fiksyen yang sarat dengan mesej kemanusiaan dan kehidupan. Banyak dialog dan petikan yang menarik perhatian saya ketika membacanya. Seperti novel-novel lain juga sebelum ini.
Ia membuat saya termenung dan berfikir-fikir hakikat kehidupan. Tak sangka saya akan temukan hikmah-hikmah kehidupan dalam novel sebegini. Saya kongsikan beberapa dialog dan petikan kegemaran saya daripada novel ini.
Petikan mengenai ketakutan
Namun jauh di sudut hati, Natalya juga tahu bahawa manusia selalu takut dengan apa yang mereka tidak tahu. Ketakutan selalu mengaburi rasional manusia. Ketakutan juga membuatkan manusia hilang pertimbangan yang betul.
Akhirnya, yang manusia takutkan itu bukanlah raksasa, tetapi sesuatu yang mereka tidak tahu. Oleh sebab manusia tidak tahu, mereka menghukum. Itu lebih mudah kerana untuk memahami, mereka memerlukan keberanian untuk melawan ketidaktahuan.
Ramai orang melakukan kesilapan bukan kerana kelemahan mereka, tetapi kerana kebanyakan masanya takut dan tidak mempercayai diri sendiri.
Tetapi kebaikan tidak pernah gagal memberi kesan pada hati manusia. Meskipun sedikit. Meskipun lambat. Tiada siapa yang tidak tersentuh dengan kebaikan.
‘Athena’ di hadapannya itu ialah ketakutannya. Ia hanya mahu melindunginya daripada disakiti.
Tetapi yang namanya ‘ketakutan’ begitulah sifatnya – ia sentiasa mahu melindungi diri daripada disakiti, namun acap kali ia membuatkan diri kita berhenti bergerak ke hadapan apabila kita memilih untuk lari daripada berhadapan dengan rasa takut ini. Ia perasaan yang mengundang gelisah dan tidak selesa.
Dendam membuatkan manusia gagal membezakan antara yang benar dan yang salah. Dendam akan sentiasa membakar amarah dalam diri manusia, sehingga hidup mereka ikut hangus dimusnahkannya.
Dendam hanya dapat dilepaskan dengan memaafkan diri atas apa yang terjadi. Tetapi memaafkan diri sendiri bererti perlu menghadapi ketakutan yang paling besar dalam diri. Kerana itu ramai yang memilih untuk berdendam, atau menyalahkan diri sendiri.
Dialog melawan ketakutan
“Kalau kau fikir dunia mungkin jadi lebih teruk, mengapa tidak dunia mungkin jadi lebih baik?”
“Berasa rapuh tak bermakna kau lemah, Athena. Ia cuma bermaksud yang kau ialah manusia,”
“Percaya diri kau sendiri, Joseph. Ketakutan yang sebenarnya membutakan kita daripada membuat keputusan yang betul,”
“Bagaimana kalau aku buat keputusan yang salah lagi?” Joseph masih ragu.
“Tak buat apa-apa keputusan langsung pun keputusan yang salah juga. Sekurang-kurangnya kita lakukan sesuatu, kan?” Natalya memulangkan semula persoalan.
“Kau benar, tiada manusia yang akan hidup aman dengan ketakutan. Tiada keadilan dapat ditegakkan jika paksinya dendam.”
Menarik kan? Jangan lupa untuk dapatkan novel Amukan Manusia Ciptaan di imanshoppe.com