Di manakah Rasulullah SAW Dan Al-Quran Dalam Kehidupan Kita?

“Bagaimana aku mahu ikut gaya hidup Nabi SAW sedangkan aku banyak kekurangan, banyak salah, dan tiada keistimewaan seperti baginda.” Seringkali saya fikir sebegitu tiap kali membaca dan mendengar tentang kemuliaan nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Rasa diri ini tidak layak untuk mengidolakan Rasulullah SAW kerana terlalu banyak perbezaan. Bagai langit dan bumi. Lalu mulalah saya mencari orang-orang lain sebagai idola kerana dirasakan lebih realistik untuk diikuti. 

Ketika saya melayari www.imanshoppe.com untuk lihat buku-buku apa yang terbaharu, sebuah buku menangkap perhatian saya kerana tajuknya yang unik. ‘Nabi juga Seorang Manusia’, ditulis oleh Ustaz Khubaib Akhi. Sekali imbas seperti mahu memperendah-rendahkan Nabi pun ada. Tetapi setelah meneliti pada blurb (pengenalan di muka surat belakang buku), saya mendapati buku ini menarik kerana mempunyai topik yang jarang diketengahkan iaitu mengenai sisi manusiawi baginda. 

Tertanya-tanya juga sebelum ini, bagaimanakah rutin seharian Rasulullah SAW. Adakah apabila menjadi manusia terbaik, semua urusannya berjalan dengan lancar? Saya merasakan buku nukilan Ustaz Khubaib ini datang tepat pada masanya. Seolah-olah memahami permasalahan yang saya alami lantas mengusulkan solusi terbaik buat saya yang sejujurnya masih meraba-raba dalam meneladani sirah Nabi SAW dalam diri. Sehubungan dengan itu, mari kita tanya Ustaz Khubaib tentang bagaimana beliau mendapat inspirasi untuk menulis ‘Nabi juga Seorang Manusia’ dan apakah signifikannya terhadap pembaca.  

Nabi SAW sebagai Uswatun Hasanah

Ustaz Khubaib menjelaskan bahawa beliau terinspirasi untuk menulis ‘Nabi Juga Seorang Manusia’ apabila melihat ada perkara yang kurang dalam kalangan masyarakat apabila menghayati Sirah. “Bagaimana atau cara kita berhubungan dengan Nabi SAW selama ini kita lihat hanya melepasi pada hubungan peringkat pertama sahaja iaitu mencintai, memuji dan mengagumi. Tetapi satu lagi peringkat tidak banyak sangat diberi perhatian. Iaitu menjadikan Nabi SAW itu sebagai uswatun hasanah.

Meneladani, itu kata kuncinya. Bukanlah meneladani secara umum sahaja, tetapi perlu diperincikan lagi. Peribadi Nabi yang macam mana yang ingin kita teladani. Bagaimana baginda merespon pada ujian-ujian yang hadir dalam hidupnya. Termasuklah perkara-perkara yang dominan dalam kehidupan seharian kita, di manakah nabi pada ketika itu, apa yang akan nabi lakukan sekiranya baginda dalam situasi kita.”  

BACA JUGA  5 Keistimewaan Kitab Al-Quran Yang Orang Islam Patut Tahu Pada Tahun 2024

Memperingatkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW adalah seorang manusia seperti kita juga. Ya, memanglah baginda itu maksum. Tapi itu bukan bermakna sifat semulajadi yang ada pada diri kita, tiada pada diri baginda. Sebagaimana kita yang ada perasaan, Nabi SAW juga ada perasaaan seperti sedih, risau, takut dan gembira. Sebagaimana kita banyak buat silap, Nabi SAW juga membuat kesilapan sehingga ditegur oleh Allah SWT. Tegasnya, apabila kita mengenali Nabi Muhammad SAW sebagai seorang manusia, hubungan kita dengan baginda akan menjadi lebih akrab sekaligus tiada alasan untuk tidak meneladani baginda dalam kehidupan seharian.

Merasakan diri kita berada dalam situasi yang digambarkan

Sebuah lagi buku baharu yang diterbitkan oleh Iman Publication dilihat ada kaitan dengan buku ‘Nabi Juga Seorang Manusia’. Buku yang dimaksudkan adalah buku yang bertajuk ‘Mendakap Kesedihan dengan Al-Quran’, karya saudara Imran Zaki. Seorang pendakwah muda daripada rancangan Da’i Pendakwah Nusantara Musim ke-6, sebuah program realiti keagamaan terbitan stesen televisyen TV3.

Buku ini juga sangat menarik kerana mengajak kita untuk mencari perkara yang hilang ketika menghayati Al-Quran. Iaitu tentang bagaimana ingin menambah baik hubungan kita dan Al Quran. Kita sering membaca Al Quran, mentadabbur Al-Quran (membaca terjemahan atau buku-buku tadabbur Al-Quran) tetapi masih tidak mampu merasai kelazatannya, tidak dapat merasakan bahawa kisah dalam Al Quran itu berkait dengan kita. Tidak merasai Al-Quran itu serasi dengan emosi yang dialami. Tidak merasai Al Quran itu penyembuh segala kesakitan.

Menurut Imran Zaki, tercetusnya idea untuk menulis ‘Mendakap Kesedihan dengan Al-Quran’ adalah daripada pemerhatiannya sepanjang bergelumang dengan pengajian Al-Quran daripada kecil sehingga dewasa.”Kita tahu bila sedih, kita perlu membaca Al Quran, tetapi kita masih tidak sampai kepada satu tahap di mana kita nampak diri kita dalam situasi yang digambarkan oleh Al-Quran. Adakalanya merasa sesi tadabbur itu untuk pertambahan ilmu sahaja bukan sebagai penyelesai kepada masalah.” Imran berkongsi satu contoh menerusi firman Allah SWT daripada surah Yusuf ;

“Dia (Yaakub) menjawab, Hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku. Dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Yusuf : 86)

Tegas Imran, “Allah SWT meraikan tiap perasaan kita yang kompleks. Buktinya, Allah SWT tidak menegur Yaakub AS menangis sehingga buta. Allah juga tidak menegur ibu Musa AS yang merasa kosong setelah membuat keputusan luar biasa. Jadi pengajarannya, kita harus menerima kesedihan dan tidak lekas menafikannya. Ia memerlukan proses untuk sembuh, dan proses pertama ialah melepaskannya. Yang kita perlu faham adalah perasaan gembira tidak semestinya positif, manakala perasaan sedih tidak semestinya negatif”

BACA JUGA  Komik Gaza: Kini Dalam Bahasa Turki!

Menangis sahaja, Al Quran itu mendakap perasaan kita

“Nama lain bagi Al Quran adalah ‘Al Huda’, iaitu petunjuk. Petunjuk atau pembimbing tidak boleh hadir pada masa tertentu sahaja, bahkan ia berlangsung di sepanjang perjalanan. Bimbingan daripada ayat-ayat Al-Quran ini merupakan penyembuh terhadap apa yang berkeladak dalam jiwa membuktikan bahawa Allah SWT sangat prihatin terhadap emosi kita semua” Tuntasnya, biar kita membaca Al Quran itu, kita dapat rasa ada perhubungan yang intim. Dengan itu, kita dapat mengaut seberapa banyak pengajaran serta ganjaran. 

Masyaallah, benarlah bahawa kita perlu menuntut ilmu pada setiap masa. Tiada istilah belajar hanya di sekolah kerana pada hakikatnya ilmu itu berada di mana-mana. Selama ini mungkin kita terlepas pandang dalam hal-hal sebegini. Kini kita kian sedar akan kesilapan dan kelompongan kita sebelumnya dalam menelusuri Sirah Nabawiyyah mahupun Al-Quran Nur Karim. Sisi yang hilang itu perlu ditemukan segera kerana impaknya sungguh besar dalam kehidupan. 

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Khubaib dan saudara Imran Zaki atas penulisan yang membuka minda ini. Jika anda mahu kefahaman yang lebih jelas, bolehlah dapatkan 2 buah buku ini di imanshoppe.com. Moga kita dapat berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah dengan lebih sempurna.

Boleh tengok lebih lanjut mengenai dua buku baru ini di sini.

https://imanpublication.com/mendakapkesedihandenganalquran/
https://imanpublication.com/nabi-muhammad-juga-seorang-manusia/

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Penulis Tamu Amirul Amin bin Fauzi | Social media
Pelatih Industri IMAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *