Bagaimana menentukan sekufu dalam perkahwinan?


Bagaimana menentukan sekufu dalam perkahwinan? Sekufu adalah salah satu ciri utama dalam pemilihan pasangan hidup. Kita sering mendengar pesan-pesan orang tua “nak cari pasangan, carilah yang sekufu supaya rumah tangga bahagia”.

Rasulullah SAW bersabda:

تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.

Tapi apa maksud sekufu tu?  macam mana kita nak tahu kita sekufu dengan bakal pasangan? 

Maksud sekufu

Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang).

Sekufu boleh dinilai dari pelbagai aspek. Sama ada dari aspek agama dan kesolehan, pekerjaan, atau pun fizikal (cacat atau penyakit lain). 

Kita selalu faham sekufu ini membawa maksud sama atau lebih kurang sama. Misalnya jika dari aspek kewangan atau pekerjaan, suami mestilah mempunyai pendapatan lebih atau lebih kurang sama dengan si isteri, barulah dikira sekufu. Dari aspek status sosial pula misalnya suami dan isteri mestilah kedua-duanya datang dari keluarga yang mempunyai status sosial yang sama iaitu orang kaya dengan orang kaya, begitu juga sebaliknya, barulah ia dikira sekufu.

Ada pula yang merasakan hanya dengan ideologi atau pemikiran (fikrah) yang sama, misalnya dari persatuan, jemaah atau parti politik yang sama akan menghasilkan sinergi atau sekufu sesama pasangan. 

Namun ini sebenarnya terjadi apabila konsep sekufu tidak dilihat dengan lebih luas dan dilihat hanya pada satu aspek sahaja. 

BACA JUGA  Bukan Senang Nak Jumpa Penulis Sebegini
Sekufu atau keserasian antara pasangan adalah sesuatu yang boleh diwujudkan.


Maksud sekufu dalam situasi hari ini

Sekufu dalam isitilah bahasa Inggeris, dikenal sebagai compatability. Antara perkara yang paling penting dalam memahami sekufu adalah lebih kepada pasangan itu sendiri dan bukan semata-mata keluarga atau faktor- faktor lain. Tidak semestinya sama tetapi yang penting serasi. Boleh diterima dan menenangkan hati pasangan. Bagaimana pasangan boleh membina keserasian, bertolak ansur dan menerima pasangan seadanya.

Sebagai contoh, dua pelajar yang bergraduasi dari universiti sedangkan antara dua keluarga mungkin terdapat perbezaan taraf. Tetapi, wujud antara dua pelajar tersebut sifat keserasian serta perasaan tolak ansur yang begitu tinggi antara keduanya. Maka hal seperti ini boleh dipertimbangkan.

Hari ini, suasana sudah berubah berbanding empat puluh atau lima puluh tahun dahulu di mana lingkaran hubungan bukan lagi dibatasi dengan kekeluargaan dan kampungan tetapi ia jauh merentasi sempadan negeri, negara, bangsa, warna kulit, kaum, dan lain-lain. Justeru, yang paling penting adalah sifat kesolehan yang terwujud pada pasangan. Begitu juga perasaan kasih sayang dan cinta tumbuh dengan mekar pada pasangan tersebut. 

Tiga perkara asas dalam mengukur sekufu

  1. Cara berfikir

    Cara berfikir menentukan tindakan seseorang. Ia dibentuk berdasarkan latar belakang keluarga, latar belakang pembelajaran, kerjaya, pembacaan dan pelbagai faktor lagi. Mengenal pasti cara berfikir bakal pasangan akan membantu kita dalam proses membina persefahaman dan tolak ansur. Ini juga akan membantu kita dalam membuat keputusan untuk memilih bakal pasangan. Adakah cara berfikirnya boleh kita terima?
  2. Prioriti

    Setiap orang memiliki prioriti kehidupan yang tersendiri. Ada yang gemar mengutamakan hobinya. Ada yang gemar mengutamakan perbelanjaanya untuk bercuti dan pelbagai lagi jenis keutamaan. Proriti menentukan gaya hidup dan aktiviti seharian seseorang individu. Mengenalpasti prioriti bakal pasangan membantu kita untuk mengetahui apa minat dan kecenderungan dia. Prioriti individu itu juga akan menentukan pilihan-pilihan yang bakal dibuat dalam kehidupan. Adakah kita boleh memahami dan bertolak ansur dengan prioriti pasangan? Adakah kita mempunyai prioriti yang lebih kurang sama atau terlalu berbeza dengan pasangan? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab bagi menilai sejauh mana sekufu antara pasangan dapat diwujudkan.
  3. Objektif  
BACA JUGA  5 Tahap Kesedihan Yang Anda Kena Tahu Bila Kehilangan Orang Yang Tersayang

Matlamat atau objektif kehidupan serta objektif memasuki alam berumah tangga boleh menjadi kayu ukur juga dalam menilai sekufukah kita dengan pasangan. Matlamat perkahwinan mestilah berasaskan keimanan. Membina rumah tangga yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah. Menjadikan perkahwinan sebagai salah satu ibadah yang mendekatkan kita dengan Allah. Dengan matlamat atau objektif yang betul ini akan memandu kita dan pasangan dalam melalui bahtera rumah tangga yang diredhaiNya. Jika badai ujian melanda, kita akan segera kembali kepada Allah.

Inilah antara ciri utama yang akan diberi perhatian dalam memilih pasangan. Apa yang penting dalam persoalan ini adalah sejauh mana kita bersedia untuk menerima dan bertolak ansur dengan segala kelebihan serta kekurangan pasangan. 

*Artikel ini diinspirasi dari buku Sekufu tulisan Aiman Azlan dan Dr Harlina Siraj

Ingin lebih memahami konsep sekufu? Dapatkan buku Sekufu di Imanshoppe.com

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Hidayah Hamid | Social media
Content Writer

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *