Permulaan mendirikan rumah tangga seolah-olah kelihatan semuanya manis-manis belaka. Tiada rasa pahit dan muka masam mencuka tetapi hanya ada keindahan wajah yang ditatap pada setiap masa sahaja. Segalanya dinikmati tanpa ada cacat cela. Dibuai oleh bisikan rindu dan malam yang hanya disaksikan oleh langit yang cerah.
Tiba-tiba, hari demi ke hari, tahun ke tahun semuanya telah berubah sekelip mata. Tiada lagi canda tawa, tiada lagi suara manja dan pelukan pasangan. Semuanya bagaikan hambar. Entah di manakah silapnya. Sekiranya ada dalam kalangan kita termasuk dalam kategori pasangan yang sedang mengalami keadaan sebegini, buku Bawa Cinta Kita ke Syurga ini adalah jawapan terbaik buat anda.
Apa yang menarik dalam buku Bawa Cinta ke Syurga ini?
Table of Contents
1) Pembimbing menambat semula hati pasangan
Karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi ini merupakan buku yang sangat sesuai dicadangkan kepada pasangan suami dan isteri. Buku ini ialah pembimbing buat mereka yang sedang berjuang hendak menambat hati pasangan semula. Penulis mengutarakan 20 perkara bagi membincangkan situasi yang saban hari berlaku dalam rumah tangga sehingga menyebabkan cinta terhadap pasangan tidak lagi semekar seperti dahulu kala.
2) Membawa contoh situasi
Dalam buku ini menampilkan banyak contoh-contoh situasi yang menjadi punca hubungan mulai menjadi renggang. Antara berikut yang ada direkodkan ialah, pasangan mulai curang, ego yang meninggi, terlalu mementingkan diri, mengabaikan perasaan pasangan, terlalu mesra dalam bersahabat antara lawan jantina yang boleh membuatkan cinta berputik kembali dan banyak lagi contoh yang amat berkait rapat dengan kehidupan masyarakat pada hari ini.
3. Menawarkan penyelesaian bagi krisis dalam rumah tangga
Justeru itu, dengan permasalahan yang berjaya dikumpul oleh al-fadhil Ustaz Pahrol beliau menawarkan penyelesaian tuntas bagi mengatasi krisis dalam rumah tangga ini dengan jalan-jalan yang terbaik. Oleh kerana itu, karya ini memaparkan langkah-langkah buat pasangan yang mahu mengembalikan semula nostalgia bersama dan mengenal pasti faktor-faktor utama yang menjadi bahan penyumbang kepada berlakunya penceraian.
Kehidupan di alam rumah tangga bagi setiap insan yang bergelar manusia adalah berbeza rasa dan situasinya. Apatah lagi, ujian yang dilalui oleh pasangan masing-masing adalah tidak sama dan ujian sudah ibarat teman seperjuangan yang setia berada di samping sentiasa. Tanpa ujian, rumah tangga pastinya akan sepi. Namun, disebabkan ujian yang diturunkan inilah juga ia menguji tahap kesabaran seorang hamba dan melihat sejauh manakah kita sanggup mempertahankan perhubungan ini selama-lamanya.
Pada awalnya, sedaya upaya bekerja keras membina rumah tangga berpaksikan keimanan dan ketakwaan. Dek nafsu yang tidak terkawal, baran yang menguasai, tidak menunaikan hak sebagai suami dan isteri ia akhirnya mengundang pada penceraian yang tidak dinginkan sama sekali. Lafaz talak semudah itu dilafazkan oleh suami. Fasakh dituntut oleh sang isteri asbab tidak lagi menahan tingkah laku buruk suami. Subhana-Allah. Mengapa begitu?
4) Punca keretakan rumah tangga
Usai membaca buku ini didapati bahawa retaknya sesebuah rumah tangga itu, banyak tercetus daripada sikap pasangan yang mengambil ringan akan tanggungjawab yang wajib dipikul sebagai hidup berpasangan. Di samping itu, tiada kesedaran terhadap hukuman Allah akan amanah perkahwinan ini akan dipersoalkan keseluruhannya di hari akhirat kelak. Boleh jadi kepincangan dalam perkahwinan ini berlaku salah satunya kerana tidak tahu menguruskan hati pasangan.
Hal ini juga telah mengingatkan kita akan perintah daripada Allah SWT terhadap para suami untuk memelihara pasangan dan anak-anaknya agar jangan kerana disebabkan oleh sikap yang tidak sewajarnya menyebabkan seluruhnya termasuk ke dalam neraka. Naudzubillahi mindzalik.
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” [Surah At-Tahriim:6]
Berdasarkan ayat ini ia jelas menunjukkan bahawa isteri dan anak-anak adalah ujian. Ayat ini adalah perintah Allah bagi melatih para lelaki untuk bersedia menyandang tugasnya sebagai suami yang amat berat tanggungjawabnya selepas berkahwin.
5) Rahsia rumah tangga berkekalan
Hubungan suami isteri bukan sekadar menuruti kemahuan seksual semata-mata sebagaimana yang turut diperincikan oleh penulis. Keperluan batin memang menjadi salah satu tarikan bagi mempertautkan cinta kembali, tetapi kekekalan sesuatu hubungan itu adalah datang daripada kejujuran, toleransi, saling memahami dan memaafkan antara satu sama lain serta terdapat banyak lagi sentuhan halus daripada al-Fadhil Ustaz Pahrol dalam menaikkan seri percintaan seperti di awal perkahwinan untuk diterapkan pada ketika ini.
Sekiranya ada yang tidak tahu bagaimana menangani kelakuan dan jiwa pasangan yang dilihat seakan-akan tawar, mungkin buku ini boleh membantu mengemudikan rumah tangga dan mengembirakan hati pasangan bertukar bahagia.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, cinta dalam perkahwinan adalah anugerah. Semailah ia mengikut seruan Allah. Usah cemari cinta dengan kemungkaran, kekerasan, dan kemaksiatan. Layaklah, bagi suami dan isteri mendapatkan karya beliau bagi yang masih buntu mengikat cinta agar dapat mengajar kita menyantuni cinta dengan sejatinya mengikut keredaan Tuhan. Wallahu ‘alam.
Artikel ini dihantar oleh,
Suriati Munal (Syuhara Suriati)