Awak Okey Ke? : Kenali simptom burnout dan loneliness bersama penulis IMAN

Menjadi dewasa, kita sering disibukkan dengan hal-hal yang menuntut perhatian kita. Soal kerja, keluarga, hubungan, peribadi, kawan. Biasanya ia datang serentak, sampai kita tidak menang tangan dan terpaksa mengharunginya. Kita hanya sedar yang kita perlukan rehat bila tubuh mula penat dan burnout (lesu upaya). Tidak kurang ramai juga yang dihentak kesunyian, walaupun dia dikelilingi ramai orang.

Pada 23 November 2024 yang lepas, syarikat IMAN Publication dengan kolaborasi bersama pelajar-pelajar University of Cyberjaya, mengajak anda menyelami lagi perihal kesunyian dan burnout (lesu upaya).

Sesi pelancaran buku dan penurunan tandatangan di poster pelancaran bersama 3 penulis: Dr Alizi, Dr Rozanizam dan Iman Danial Hakim

Program borak buku ‘Awak Okey Ke?’ ini diadakan berlatarkan suasana buku dengan aroma seduhan kopi di Bookxcess Tamarind Square, Cyberjaya Selangor. Program ini dihadiri oleh 50 orang peserta dengan 3 orang panel hebat: Dr. Rozanizam (Pakar Psikiatris), Dr Alizi (Pakar Psikologi) dan Iman Danial Hakim (peguam muda). Ramai yang datang dari Kuala Selangor, Rawang, Batu Caves dan Negeri Sembilan, semata-mata nak jumpa penulis, beramah mesra dan mendengar perkongsian yang sangat bermanfaat. Masing-masing daripada golongan yang cakna tentang isu kesihatan mental, malah ada juga di kalangan mereka ialah seorang mental health survivor (9 tahun bergelut dengan masalah kesihatan mental)

Program bermula dengan Sesi Baca Petikan Buku ‘Jangan Ganggu Lepas Waktu Kerja, Boleh?’ karya Dr Alizi Alias & Iman Danial Hakim dan ‘Kenapa Hidup Makin Sunyi?’ hasil tulisan Dr Rozanizam & Dr Madihah. Dibacakan bahagian yang paling menyentuh hati oleh 2 pempengaruh buku terpilih, Puan Hafizah (Instagram: @haengbok.chaeg) dan En Amsyar (Instagram: @hafreez_bookstagram)

Program dibuka dengan pembacaan petikan buku pilihan pempengaruh buku: Pn Hafizah dan En. Amsyar

Selepas sesi Pelancaran Buku dan penurunan tandatangan daripada para penulis, wakil IMAN, Najwa Ramzan memperkenalkan tiga panel bicara. Dari soalan pertama lagi dah boleh lihat, betapa topik ‘burnout’ di tempat kerja dan kesunyian ini sangat terkait rapat dengan audiens.

Berdasarkan perkongsian Dr Alizi, ciri-ciri yang paling menonjol kalau sedang ‘burnout’, adalah stres yang berpanjangan dan tidak dapat atau sukar diurus lagi.

Hampir kebanyakan orang mengalami ‘burnout’ di tempat kerja, kerana sebahagian besar daripada hidup kita dihabiskan di tempat kerja. Beliau berharap majikan-majikan di Malaysia lebih cakna tentang isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja. Dan melalui buku ‘Jangan Ganggu Lepas Waktu Kerja, Boleh?’, beliau ingin tekankan tentang usaha yang boleh dilakukan dari pihak pekerja — tentang betapa pentingnya menjaga boundaries (batasan sosial) di tempat kerja.

Ada persoalan menarik yang ditujukan kepada Dr Alizi tentang burnout – “Kenapa ‘burnout’ juga boleh datang dalam keadaan kita suka buat kerja kita?”.

Menurut beliau, ‘burnout’ itu datang kerana faktor sekitar pekerjaan. Bukanlah pekerjaan itu sendiri. Ramai yang mengalami burnout atas faktor bos, pengurusan, struktur syarikat, malah ada juga yang mempunyai ‘sick building syndrome’. Menariknya, ini adalah keadaan di mana kita mempunyai reaksi fizikal sebaik sahaja memasuki tempat kerja (contohnya sakit kepala, mudah sakit, dan lain-lain)

BACA JUGA  IMAN di AWANI: Masa Depan Dunia Buku pada 2024
Najwa Ramzan memperkenalkan para penulis

Tentang buku ‘Kenapa Hidup Makin Sunyi?’ pula, rupanya buku ini mula ditulis secara tidak rasmi sejak 11 tahun lalu, ketika Dr Rozanizam berada di Perth, Australia. Saat berada di perantauan, barulah pengalaman rasa sunyi yang dituliskan lebih ‘relatable’ kerana dekat dengan apa yang beliau sedang alami, iaitu hidup berjauhan dari keluarga di Malaysia.

Soal sunyi, perasaan ini mempunyai stigma yang negatif apabila disebut. Sedangkan ‘sunyi’ hanyalah bahagian daripada perasaan-perasaan yang manusia alami. Semua orang pasti pernah merasai sunyi, dalam perspektif masing-masing. Ada yang terpuruk sunyi kerana berjauhan dengan keluarga, rindukan sahabat jauh, dan kerana merasa tiada sesiapa yang memahami. Sunyi juga tidak semestinya hadir ketika kita berseorangan. Tidak kurang ramai juga yang merasa sunyi walau dalam kumpulan.

Paling penting adalah, kita perlu belajar memahami kesunyian dahulu. Kemudian barulah kita tahu bagaimana menanganinya.

Dr Rozanizam juga ada berkongsi dapatan kajian tentang sunyi. Bahawa, semakin tinggi kesunyian yang dirasa, semakin tinggi kebarangkalian untuk pendek umur. Kenapa? Kerana individu ini lebih berisiko untuk mempunyai penyakit fizikal, bergelut dengan isu kesihatan mental dan dementia (lupa ingatan). Riziko untuk mendapat serangan jantung juga meningkat sebanyak 30%.

Melawan stigma masa kini, rasa sunyi tidak patut dilihat sebagai satu masalah. Sebaliknya, ia adalah sebuah perasaan yang boleh diuruskan. Melalui kesunyian juga, manusia lebih menghargai momen-momen bersama yang tersayang. Sunyi boleh digunakan sebagai masa untuk refleksi, penjagaan diri, dan belajar menyayangi diri sendiri.

Peserta seramai 50 orang sedang khusyuk mendengar perkongsian dan mencatit nota

Seterusnya, giliran Iman Danial Hakim pula berkongsi dari perspektif seorang peguam muda yang menempuh 3 tahun alam pekerjaan. Semestinya jadual sebagai seorang peguam agak sibuk. Terutama ketika sesi perbicaraan di mahkamah semakin dekat, yang memerlukan beliau sibuk dengan sesi pembacaan yang mencapai 8 jam!

Bagi Iman Danial Hakim, beliau mengaku turut berdepan dengan kesunyian. Apa lagi bila masuk ke dalam alam pekerjaan, barulah beliau tahu bahawa hal yang ‘muluk-muluk’ seperti yang ditunjukkan dalam drama ‘Suits’ adalah jauh dari realiti.

Kenyataannya, menjadi seorang peguam bukanlah soal bergaya. Kerjaya ini memerlukan kemahiran menyelesaikan masalah yang tinggi, banyak berdepan dengan hal tiba-tiba dan ketidakpastian, tidak termasuk pula dengan kerenah klien yang pelbagai. Iman Danial Hakim adalah seorang yang sangat menghargai hubungan persahabatan. Jadi ketika sunyi menjengah, beliau pasti akan berjumpa dengan rakan-rakan, terutamanya yang duduk berdekatan dengan rumah. Beliau berpendapat rakan-rakan sangatlah diperlukan sebagai ‘support system’ yang kuat. Direzekikan dengan seorang bos yang sangat mementingkan keseimbangan antara kerja dan hidup, beliau memuji ketua beliau, En Hafizuddin, kerana tidak menggalakkan beliau membalas mesej klien di luar waktu kerja. Waktu bekerja beliau kebiasaannya bermula pada pukul 9 pagi hingga 6 petang. Sampai sahaja rumah, beliau akan letak telefon bimbit jauh-jauh dan fokus merehatkan tubuh dengan hobinya, membaca buku. Beliau juga berpendapat bahawa, ‘psychological safety’ di tempat kerja sangatlah penting untuk mencapai keseimbangan hidup dan kerja.

BACA JUGA  Bukan Senang Nak Jumpa Penulis Sebegini

Dr Alizi pula berkongsi, bahawa semua generasi sebenarnya terkesan dengan kesihatan mental. Cuma cara mereka memanifestasikannya sahaja yang berbeza.

Kalau Gen Y (Millenial), mereka stres kerana e-mel mengambil alih tugas kita. Bermaksud, di luar waktu pejabat pun kita dapat e-mel tentang kerja.

Gen Z, mereka stres kerana notifikasi yang sering masuk. Apa lagi mereka membesar di zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di mana skrin dan digital mendominasi. Gen Z juga terdedah dengan orang-orang dewasa mereka yang terdekat bergelut dengan masalah kesihatan mental. Disebabkan mereka mahu menjaga kesihatan mental daripada terjejas seperti Gen Y, maka mereka lebih mudah untuk buat ‘quiet quitting’. Gen Z juga lebih utamakan kepada ‘makna‘ ketika mencari sesuatu pekerjaan.

Soalan terakhir pula diajukan kepada Iman Danial Hakim, tentang bagaimana beliau meletakkan boundaries (batasan sosial) di tempat kerja, sekiranya memang berada dalam kitaran yang toksik. Kata beliau, kadang-kadang, jalannya hanyalah dengan cara keluar daripada tempat toksik itu. Pekerja kena selamatkan diri sendiri dahulu kerana soal pengurusan syarikat adalah di luar kawalan mereka. Kita juga kena belajar untuk berkata ‘TIDAK’ bila berada dalam situasi melanggar boundary (batasan sosial).

Program Borak Buku ‘Awak Okey Ke?’ ini ditutup dengan sesi soal jawab daripada para peserta. Diikuti dengan aktiviti ‘Self-Check in Simptom Burnout dan Lonely‘. Di sini, para peserta diminta menanda kertas ujian yang diberi supaya dapat tahu, tahap keseriusan yang sedang dialami.

Seorang peserta yang juga merupakan mental health survivor, bertanyakan soalan, jika ada kaitan antara rasa sunyi dan penghidap penyakit kesihatan mental.

Sesi Meet and Greet juga meriah dengan soalan-soalan lebih peribadi daripada setiap peserta ketika sesi tandatangan dan bergambar. Kami berharap program borak buku sebegini dapat diteruskan supaya pengalaman pembacaan buku lebih menyeluruh. Semoga lebih ramai lagi beroleh manfaat dalam program-program akan datang!

Program ditutup dengan sesi bergambar beramai-ramai

Berminat untuk dapatkan buku ‘Jangan Ganggu Lepas Waktu Kerja, Boleh?‘ dan ‘Kenapa Hidup Makin Sunyi?’?

Boleh dapatkan di imanshoppe.com sekarang.

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *