
Pelbagai usaha dan kempen telah dijalankan bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana bangsa membaca adalah bangsa yang berjaya. Tidak perlu dinyatakan lagi apa kepentingan membaca dalam membina suatu tamadun yang hebat, umum telah menyedari dan maklum tentang perkara tersebut.
Jika kita mengkaji sejarah, setiap tamadun besar mempunyai bentuk penulisannya sendiri, umpamanya, tamadun Mesopotamia memperkenalkan cuneiform dan tamadun Mesir purba muncul dengan hierogliphs. Lain-lain tamadun juga turut memperkenalkan bentuk tulisan dan tidak kurang juga yang menceduk atau menerima bentuk tulisan dari tamadun yang terdahulu dan diguna oleh tamadun yang kemudian.
Kenapa bentuk tulisan ini amat penting kepada sesuatu tamadun. Ia memberi ruang berkomunikasi dalam bentuk yang lebih teratur dan mudah.Tulisan-tulisan ini menjadi alat untuk merekod kejadian, peristiwa, kelahiran, resipi dan perubatan. Dalam lain perkataan, tulisan-tulisan ini wujud untuk dibaca dan pembacaan inilah yang menjadi ilmu dan pengetahuan kepada sesuatu masyarakat.
Ilmu dan pengetahuan inilah yang menyumbang kepada membangunkan sesuatu tamadun. Tanpa sebarang keraguan, pengetahuan dan ilmu itu terhasil dari pembacaan. Malahan, ayat pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad ialah “iqra’” iaitu bacalah. Bacalah jika mahu menimba ilmu pengetahuan.
(sumber : https://www.pmo.gov.my/2020/02/ucapan-sempena-majlis-pelancaran-dekad-membaca-kebangsaan/ )
Budaya membaca harus bermula dari dalam rumah iaitu keluarga. Hal ini kerana keluarga lah struktur asas dalam sesebuah negara. Antara cara yang boleh saya kongsikan iaitu yang telah dilakukan oleh keluarga-keluarga yang berjaya membudayakan pembacaan dalam keluarga ialah:
Table of Contents
1. Menyediakan peruntukan atau bajet bulanan untuk perbelanjaan buku
Jika kita mengasingkan sedikit wang perbelanjaan bulanan kita untuk hiburan, pakaian dan pelbagai hal lain, mengapa tidak kita asingkan juga sedikit wang perbelanjaan kita untuk buku. Tak perlu banyak, tak perlu dalam jumlah yang besar tapi perlu ada. Hal ini penting bagi membina kebiasaan membeli buku dalam keluarga.
Bermula dengan RM 30 sebulan misalnya, beli majalah atau buku-buku yang nipis. Kemudian ditambah sedikit demi sedikit.
2. Menyediakan sudut bacaan di rumah
Tak perlu ruang yang besar tapi harus ada. Di ruang tamu atau sudut rumah atau di dalam bilik. Ruang ini penting supaya semua orang dalam rumah mudah mendapatkan buku-buku untuk dibaca. Selain itu, apabila sudut bacaan itu dibuat di kawasan yang mudah atau selalu dinampak, secara tidak langsung akan memberi galakan kepada seluruh ahli keluarga untuk membacanya.
Ada sesetengah keluarga meletakkan buku di banyak tempat di dalam rumah seperti di atas meja di ruang tamu, di dalam bilik tidur, di ruang depan rumah dan di seluruh bahagian rumah bagi membiasakan anak-anak melihat buku dan secara tak sengaja akan mengambil serta membacanya. Menarik bukan? Sengaja ‘menyepahkan’ buku di seluruh kawasan rumah.
3. Menjadikan buku sebagai hadiah untuk sebarang sambutan istimewa
Sekali-sekala tukarkan coklat atau barang permainan dengan buku. Atau hadiahkan coklat dan barang permainan bersama buku. Hadiahkan buku yang baru terbit atau sedang menjadi bualan ramai orang ketika itu. Ajarkan ahli keluarga kita untuk mencintai buku dan meletakkan nilai yang tinggi kepada buku. Kerana hakikatnya kita sedang menghargai ilmu.
Buku merupakan harta yang akan tahan lama dan sentiasa memberi manfaat. Lebih-lebih lagi ketika ia dibaca dan diamalkan isi kandungannya. Cuba bayangkan jika si penerima hadiah buku daripada kita tadi berubah menjadi seorang yang lebih berakhlak, manfaat pahala berterusan buat kita selagi dia mengamalkannya.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya diantara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya…”
4. Memasukkan membaca dalam rutin mingguan
Jadikan aktiviti membaca sebagai aktiviti mingguan bersama keluarga. Membacakan buku kepada anak-anak misalnya setiap kali sebelum tidur atau ketika hujung minggu. Selain itu, boleh juga meluangkan masa bersama dengan masing-masing membaca buku-buku pilihan dan berkongsi cerita tentangnya. Saling bercerita tentang penulis kegemaran masing-masing, watak kegemaran dalam buku yang sedang dibaca dan pelbagai lagi cerita tentang buku.
Apabila rutin ini dibiasakan, secara tak langsung keluarga yang cintakan buku dan ilmu akan terwujud.
5. Membawa ahli keluarga ke pesta atau aktiviti bertemakan buku
Pelbagai aktiviti bertemakan buku dianjurkan hari ini, lebih-lebih lagi selepas wujudnya ‘Dekad membaca kebangsaan’ dan kempen #Malaysiamembaca dilancarkan. Pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan, institusi-institusi pembukuan telah bergabung tenaga dan idea untuk menjayakan misi ini. Selain dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), pesta buku setiap negeri turut diadakan. Sebagai contoh, 3 Jun sehingga 12 Jun 2022 ini akan berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di WTC KL.
Pesta ini merupakan pesta terbesar dalam industri buku. Pelbagai aktiviti yang diajurkan seperti sesi pelancaran buku baru, sesi bertemu penulis dan bengkel melukis. Setelah 2 tahun tidak bertemu, kali ini IMAN akan membawakan seramai mungkin para penulis kegemaran kalian untuk sama-sama memeriahkan pesta ini.
Jangan lepaskan peluang untuk bertemu mereka dan dapatkan pelbagai buku terkini dan menarik dengan harga istimewa.
Jumpa di PBAKL nanti.
Dapatkan informasi PBAKL 2022 di sini > https://www.imanshoppe.com/pbakl22
Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman
Penulisan oleh,
Hidayah Hamid,
Penulis Konten IMAN
