7 Kelebihan Ramadan

Akhirnya Ramadan yang kita nanti-nantikan datang juga. Bulan yang dalamnya terhimpun 1001 kebaikan dan keberkahan. Marhaban Ramadan! Selamat datang Ramadan yang kami rindu. Bersyukur dan gembiranya kami kerana direzekikan bertemu Ramadan kali ini.

Bersedia atau tidak, Ramadan tetap kan kunjung tiba. Sesibuk mana pun kita, peluang untuk beramal di dalam bulan ini haruslah dimanfaatkan sepenuhnya. Siapa tahu ini mungkin Ramadan terakhir kita. Di celah kesibukan mengurus kehidupan dan pekerjaan, teringat pada ajakan Mu’az bin Jabal kepada para sahabat. إجلس بنا نؤمن ساعة (Marilah kita duduk untuk beriman sejenak). Sebuah ajakan yang mengingatkan para sahabat untuk duduk bersama mengingati Allah. Untuk ‘recharge’ keimanan. 

Iman sifatnya ada naik dan turun. Ada masa iman kita berada di tahap yang tinggi, dan di masa lain sebaliknya.

Sahabat Abu ad-Darda` Uwaimir al-Anshaari rahimahullah berkata,

الإِيْمِانُ يَزْدَادُ وَ يَنْقُصُ

Iman itu bertambah dan berkurang.

Ajakan Mu’az ini mengingatkan kita untuk sentiasa bertanya khabar kepada iman kita. Sihat kah ia, perlu bantuan kah ia. Umpama sahabat yang begitu kasih pada sahabatnya Mu’az berkata “jom-jom, stop kejap dari apa pun yang sedang kalian lakukan, mari kita mengaji sekejap atau mari kita dengar ceramah sekejap atau mari kita hadir majlis ilmu sekejap” 

Ramadan datang dengan pakejnya tersendiri. Ia datang sebagai hadiah dan anugerah buat kita ummat Nabi Muhammad dari Sang Pencipta. Ia datang bersama beribu rahmat, penghapusan dosa dan amalan yang dilipat gandakan ganjarannya . Namun bulan mulia ini cuma sekejap hadirnya. Hanya sebulan. Rugilah sekiranya tempoh yang sekejap ini tidak kita manfaatkan sebaiknya. 

Mari kita duduk bersama beriman sejenak. Kita mulakannya dengan mengulangkaji kelebihan-kelebihan yang ada pada Ramadan.

1) Ramadan bulan memburu takwa

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ

 “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah 183)

Melalui ayat ini, kita dapat fahami bahwa tujuan utama Ramadan adalah untuk kita memburu takwa. Iaitu rasa takut kepada Allah, takut untuk melakukan dosa dan taat kepada Allah. Takwa inilah yang akan menjadi benteng manusia dari menurut ajakan nafsu dan syaitan. Semoga dengan kehadiran Ramadan ketakwaan kita dapat ditingkatkan dan seterusnya menjadi bekal di bulan-bulan lain.

BACA JUGA  7 Cara Ajar Anak Membaca Dengan Mudah!

2) Ramadan bulan Al-Quran

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk kepada sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah, 185)

Dari ayat ini jelas memberi tahu kita bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Al Quran yang merupakan kitab panduan ummat Islam. Sana sini kita dapat lihat pelbagai perkongsian dari asatizah tentang isi kandungan Al-Quran sempena Ramadan ini. Semoga kita dapat mengambi manfaat darinya untuk menambah baik hubungan dengan Al-Quran. 

3) Ramadan bulan mulia

Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

“Apabila masuk Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Potensi-potensi kejahatan semuanya dikurangkan. Syaitan dibelenggu maka kuranglah satu faktor penghasut manusia melakukan kejahatan. Hanya tinggal nafsu yang perlu dikalahkan. Pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Ini benar-benar menjadi motivasi buat kita untuk menghentikan perbuatan buruk dan dosa serta memperbanyakkan amalan kebaikan.

4) Ramadan bulan dimakbulkan doa

Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. [Riwayat Ibn Majah (1752)]

Menerusi hadis dari Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ”Sesungguhnya Allah membebaskan beberapa orang dari api neraka pada setiap hari di bulan Ramadhan, dan setiap muslim apabila dia memanjatkan doa, akan dikabulkan.” (HR. Al Bazaar).

Berdoalah setiap masa di bulan ini. Sewaktu sahur, setiap kali lepas solat, sebelum berbuka dan bila-bila masa sahaja. Tuliskan lah doa-doa yang ingin diminta. Doakanlah kebaikan buat seluruh ahli keluarga dan kawan-kawan. 

5) Ramadan bulan kesabaran

Rasul SAW bersabda :

وَالصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ

“Puasa itu setengah sabar” (HR. Tirmidzi)

dari Ibn Mas’ud:

الصَّبْرُ نِصْفُ الإِيمَانِ

Sabar adalah separuh dari iman

Sabda Rasulullah SAW: “Puasa itu setengah kesabaran. Kesabaran itu setengah dari iman.” (HR Tirmidzi, Abu Na’im, dan Abu Mas’ud)

Puasa dan sabar sangat berkait rapat. Imam Ghazali mengatakan bahawa puasa adalah 1/4 daripada iman berdasarkan dua hadis di atas iaitu puasa 1/2 sabar dan sabar 1/2 daripada iman. Ramadan datang untuk melatih kesabaran kita. Sabar dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Latihan ini menjadikan kita Muslim yang mempunyai jati diri yang lebih teguh. Tidak mudah terusik dengan perkara-perkara yang menguji kesabaran kita.

BACA JUGA  Di manakah Rasulullah SAW Dan Al-Quran Dalam Kehidupan Kita?

6) Ramadan bulan diampunkan dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (HR Bukhari)

Daripada hadis di atas ihtisab membawa maksud melakukan ibadat puasa dengan ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar. Apa lagi yang lebih membahagiakan orang yang berdosa selain dosa-dosanya diampunkan. Ramadan memberi kita peluang untuk membersihkan diri dari dosa-dosa yang lalu. Sebagaimana pintu syurga yang dibuka seluas-luasnya, begitulah pintu kemaafan Allah buat hambaNya yang berdosa. 

7) Ramadan bulan sedekah

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:

إن في الجنة غرفا يرى ظاهرها من باطنها وباطنها من ظاهرها أعدها الله لمن ألان الكلام وأطعم الطعام وتابع الصيام وصلى بالليل والناس نيام

“Sesungguhnya di syurga terdapat ruangan-ruangan yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa, dan solat dikala kebanyakan manusia tidur.” (HR. At Tirmidzi)

Amalan bersedekah adalah antara amalan yang sering Rasulullah lakukan di bulan Ramadan. Bersedekah sama seperti amalan kebaikan lainnya iaitu akan beroleh pahala berlipat ganda. Dengan bersedekah dapat mensucikan hati, melatih berkongsi dan membantu sesama manusia. Selain amalan sedekah, amalan wakaf juga turut boleh dilaksanakan. Wakaf boleh diberi dalam pelbgai bentuk yang bersifat kekal.

Ramadan kali ini IMAN bekerjasama dengan Konsortium Wakaf Quran menganjurkan projek wakaf bagi sama-sama mengambil peluang bulan barakah ini. Jo berwakaf bersama IMAN. Baca lebih lanjut di sini > https://wakafquran.imanshoppe.com/

Demikianlah di antara keistimewaan Ramadan.

Semoga sedikit sebanyak peluang yang ada di Ramadan kali ini kita manfaatkan sebaiknya. Mari, kita beriman sejenak. 

Kongsikan artikel ini dengan followers anda

Hidayah Hamid | Social media
Content Writer IMAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *