Lambakan platform hiburan kini mewujudkan banyak pilihan buat kita. Mana tidaknya, setiap aplikasi atau laman media sosial ada kelebihannya yang tersendiri. Masing-masing mempunyai fokus dan target audiensnya yang berlainan. Misalnya kandungan Instagram banyak tertumpu kepada gambar-gambar. Manakala podcast pula lebih tertumpu kepada siaran audio. Antara masa-masa yang sesuai untuk kita mendengar podcast termasuklah ketika ;
Table of Contents
1.Memandu

Sebelum ini, kita biasa memandu dan menghadap kesesakan lalu lintas sambil mendengar radio. Radio akan memperdengarkan koleksi lagu, manakala penyampai radio pula akan bercakap lalu diselingkan pula dengan deretan iklan yang beraneka.
Sekiranya anda sudah bosan dengan rutin sedemikian, saya cadangkan untuk anda mencuba podcast pula. Daripada diri hanya berfokuskan kepada pemanduan yang membosankan, alangkah syoknya jika menjadikan pengisian podcast itu sebagai peneman sepanjang perjalanan. Bukan saja dapat mengisi sanubari, bahkan mencetuskan keterujaan dalam menuju destinasi.
2. Memasak

Seterusnya, mendengar podcast sambil memasak antara aktiviti yang best juga. Terutamanya buat saya ini yang memang tidak minat memasak. Memang mudah jemulah apabila duduk di dapur, jadi apa yang saya buat adalah saya akan meletakkan telefon bimbit berhampiran dapur dan memasang podcast. Sambil masak, sambil dengar.
Ia seolah-olah penyokong saya untuk melawan kejemuan tersebut. Setidaknya pengisian podcast itu mampu menghiburkan hati, sekaligus meringankan bebanan yang dirasai. Secara tidak sedar, masakan sudah siap untuk dihidangkan.
3.Sebelum tidur

Selain itu, masa yang strategik untuk anda mendengar podcast adalah ketika mana anda hendak tidur pada waktu malam. Apatah lagi ada segelintir daripada kita yang mengihdap penyakit insomnia yang mana pesakit akan mengalami kesukaran untuk tidur. Hal ini mengundang ruang buat mereka bagi memikirkan perkara-perkara yang negatif seperti terlalu mengenangkan masa lalu dan risau tentang masa hadapan. Lantaran itu, kehadiran podcast ini dilihat berupaya menyalurkan ketenangan melalui pengisian bermakna sebelum mata berlabuh.
4.Menaiki pengangkutan awam

Tidak kisahlah sama ada anda menaiki bas, kereta api atau mana-mana kenderaan yang mana anda bukan pemandunya. Anda pasti akan mempunyai banyak masa kosong di dalam kenderaan tersebut. Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang selalu menaiki bas daripada Terengganu ke Selangor, memang banyak masa terluang yang mana saya tidak tahu nak buat apa. Jikalau membaca, mendorong untuk pening kepala pula.
Jadi sementara menunggu untuk sampai, saya akan mendengar lagu-lagu jiwang menerusi telefon bimbit sambil memandang ke luar tingkap. Memang melayan perasaan betul. Ia merupakan terapi buat saya memandangkan tiada teman untuk berborak. Tetapi setelah mendapat tahu mengenai podcast ini, memang saya beralih kepada platform inilah kerana dapat mendengar sesuatu yang lebih bermanfaat.
5.Melakukan aktiviti seharian

Akhir sekali, podcast memang seronok didengar bila tengah buat kerja-kerja rumah seperti mengemas rumah, mengelap perabot, menyusun buku, menyapu lantai, melipat kain serta menyidai kain kerana kandungan podcast itu bersifat santai, sesuai dalam banyak suasana. Contohnya, ada yang berbentuk menyembang, ada penyampaian tazkirah dan lain-lain. Jadi sambil buat kerja, dapatlah juga ilmu. Kesannya, kita akan semakin bersemangat untuk menyempurnakan tugasan. Daripada melihat tanggungjawab itu suatu beban, kepada melihatnya sebagai suatu aktiviti yang menyeronokkan.
Konklusinya, ternyata podcast merupakan sebuah platform yang sangat fleksibel. Antara siri podcast yang saya selalu dengar adalah siri podcast daripada channel IMAN yang ada di spotify dan youtube.

https://www.youtube.com/c/IMANTV4U
Terokailah dan kongsikannya kepada keluarga dan sahabat handai. Diharapkan platform podcast terus berkembang dengan ciri-ciri yang terbaharu supaya terus relevan mewarnai kehidupan kita semua.