Bila sebut sahaja Bukit Bintang, pasti ramai yang terbayang kawasan membeli belah yang meriah dan sesak. Sejak pembukaan ekonomi yang semakin rancak, Bukit Bintang kembali menjadi tumpuan ramai anak muda dan pelancong luar negara. Kedudukan Bukit Bintang yang berada di tengah-tengah memudahkan pengunjung memilih untuk pergi ke mana-mana tempat menarik yang berada di sekitarnya.
Terutamanya bagi mereka yang pertama kali ke Bukit Bintang, inilah masanya untuk mencuba makanan viral ini. Masakan kita mahu ketinggalan mencuba makanan-makanan ini sendiri bukan?
Table of Contents
1. Kunafa Crispy
Bagi mereka yang gemarkan dessert Turki boleh pergi ke sini! Disebabkan tiada antara kami yang pernah mencuba kunafa, maka kami memilih signature kunafanya yang dipanggil Crispy Cheese Kunafa. Harganya antara RM12.90-RM18.90 untuk sebungkus kunafa ini. Ia bergantung kepada jenis kunafa yang dipilih. Bagi saya, rasanya seperti roti pratha yang dilapiskan dengan cheese di bahagian bawah. Manakala dari segi teksturnya, rasanya agak rangup. Namun kerangupannya masih mampu dileraikan dengan sudu yang disediakan bersama dengan kotaknya. Dinasihatkan untuk menikmatinya ketika masih panas. Selain itu, kalian juga boleh mencuba Turkish Baklava mereka. Di bawah ini saya sertakan harga untuk menu-menu di sini.

Rate makanan: 6.5/10
2. Nasi Kahwin Hari-Hari
Bagi mereka yang gemarkan nasi, menu ini wajib dimasukkan jika kalian ke Bukit Bintang. Gerainya agak tersorok di bahagian lorong. Untuk ke sana, kalian hanya perlu berjalan ke kiri dari kedai Kunafa Crispy tadi sehingga ke hujung lorong. Lokasinya yang berada di laluan jalan yang tidak sesak membuatkan waktu operasinya agak singkat. Ia bermula pada jam 11 pagi dan tamat jam 5 petang. Jadi jangan datang lewat ya. Kami pun hampir-hampir terlepas waktu operasinya.

Selain boleh menikmati nasi kenduri ini di hari biasa dengan harga RM9, konsep free flow air sirapnya terus mengimbau momen kenduri. Betul-betul rasa seperti berada di kenduri kahwin. Menu utamanya adalah nasi minyak, acar dan beberapa pilihan lauk. Kalian boleh memilih antara ayam madu, ayam rose, ayam masak Merah atau daging Hitam. Selepas jam 5 petang, mereka akan menutup kawasan itu.
Rate makanan: 8/10
3. Wagyu Skewer Don Don Donki

Siapa peminat daging di sini, sila angkat tangan! Jika lihat dari saiz ukurannya, pasti rasa tidak cukup. Paling tidak, untuk mencubanya buat kali pertama pasti tidak rugi. Teksturnya bagi saya sangat lembut. Sebagai seorang yang memakai pendakap gigi, saya tiada masalah untuk menguyahnya. Rasa juicy dan rasa dagingnya sangat ketara. Mungkin bagi mereka yang kurang gemar daging tidak akan suka. Tapi bagi peminat daging, ini antara makanan yang saya rate tinggi apatah lagi dimakan ketika panas.
Rate makanan: 10/10
4. 32Parfait Ice Cream
Lokasi bagi Wagyu Skewer dan ais krim ini betul-betul berdekatan. Keduanya berada di Sweet Potato Factory, Lot 10. Untuk pengetahuan semua, Lot 10 ini dapat dilihat di tengah Kuala Lumpur dan menjadi tempat trendsetter untuk fesyen. Memang terasa seperti pelancong bila berada di sana. Kiosk ais krim ini agak kecil di tengah-tengah laluan masuk ke Lot 10. Ais krim di sini agak menarik kerana ia akan diletakkan di atas kon dengan kepanjangan 32cm. Terdapat 10 jenis flavour seperti gambar di bawah ini.

Bagi mengelak ais krim cair dan melekit pada tangan, kami hanya membeli sebatang ais krim. Pada awalnya kami ingin memilih perisa blueberry tapi disebabkan sudah habis, kami memilih mangga. Review kami, perisa ini sedap! Maka kami memberi rank 10/10. Harga bagi sebatang ais krim adalah sama bagi semua perisa, RM16 kecuali perisa yogurt perlu tambah RM1.
Rate makanan: 10/10
5. Makanan Minda
Setelah penat berjalan dan merasa kesemua makanan ini, kalian boleh merehatkan minda dengan singgah sebentar di Plaza Sungei Wang. Bersempena dengan bulan kemerdekaan 2022, Pesta Buku Merdeka yang pertama kali diadakan di sini bakal berlangsung dari 25 sehingga 31 Ogos ini. Terdapat banyak reruai dari pelbagai penerbit menawarkan promosi-promosi hebat sepanjang pesta ini. Kalian boleh temui mereka di Ruang Jumpa tingkat LG plaza ini.

Terdapat juga buku-buku terbaru IMAN dibawa ke sini. Ayuh cepat-cepat set janji kalian untuk berjumpa kawan-kawan di Bukit Bintang dan singgah sebentar di reruai kami sehingga 31 Ogos ini! Mari kita raikan hari kemerdekaan di ibu kota. Bagi mereka yang jauh boleh terus dapatkan buku IMAN di imanshoppe.com hari ini.